KUALA LUMPUR – “Bagaimana dengan nama yang ini? Nak tahu juga ke?” tanya seorang suri rumah yang sedang hamil kepada saya, sambil jarinya menuding ke arah perut.
Saya kelu seketika. Kemudian, apabila wanita itu ketawa, saya sedar yang dia hanya bergurau, dan sambil tersipu-sipu saya menjawab: “Sudah tentu, tapi pada bancian seterusnya!”
Banci Penduduk dan Perumahan 1970 merupakan satu tugas yang menyeronokkan bagi saya, seorang pembanci berusia 19 tahun di Ipoh, dan satu perkara yang menggembirakan mereka yang ditemu bual, iaitu ketua isi rumah dan ahli keluarga mereka.
Kisah wanita hamil itu kembali menerjah fikiran apabila saya terbaca mengenai Banci Penduduk dan Perumahan 2020 yang sedang berlangsung, serta sambutan memberangsangkan terhadap pengumpulan maklumat secara dalam talian atau e-Census, berikutan pandemik COVID-19 yang mengehadkan pergerakan orang ramai bagi mengekang penularan wabak itu.
Mengimbas kembali pada 1970, ketika itu maklumat diperoleh dengan mudah daripada rakyat tanpa mengira bangsa. Malah, mereka berusaha memastikan maklumat yang dikumpul itu setepat mungkin.
Bagi tujuan merekodkan nama, mereka mengeluarkan kad pengenalan masing-masing – kad berlamina mempunyai gambar foto hitam putih dan cap ibu jari – serta surat beranak setiap ahli keluarga bagi mengelakkan kesilapan ejaan.
Pada tahun berkenaan, pengumpulan maklumat secara keseluruhannya dilakukan secara bersemuka, bukan seperti Banci Penduduk dan Perumahan 2020 yang turut merangkumi proses bancian dalam talian atau e-Census.
Selain kad kuasa/kad pengenalan, pembanci pada 1970 mudah dikenal pasti iaitu, kalau tidak salah saya, menerusi kotak folder hijau yang dibawa. Amnya juga pembanci tidak perlu memberi penjelasan panjang lebar kerana proses banci (dieja ‘banchi’ pada ketika itu) diuar-uarkan menerusi radio dan televisyen.
“Banci, banci,” jerit kumpulan kanak-kanak sebaik sahaja saya keluar dari satu rumah menuju ke rumah yang lain. Kadang-kadang mereka ikut serta, malah ada yang lebih cepat daripada saya memanggil keluar isi rumah, sebelum saya sempat berbuat demikian.
Pintu rumah sentiasa terbuka dan penghuninya juga menyambut mesra apabila mengetahui yang datang itu adalah pembanci.
Saya teringat bagaimana seorang gadis remaja berlari keluar dari rumahnya menuju ke arah saya dan menasihati saya agar memastikan kad pengenalan diri dipamer dengan jelas (memang sudah terpamer jelas) kerana “mak saya akan halau orang yang tidak dikenali”.
Sesetengah daripada keluarga yang dibanci turut menyediakan minum petang untuk saya (jika ketika itu waktu minum petang) dan temu bual banci juga diselang-seli dengan kisah-kisah tidak berkaitan, namun tidaklah sampai berlanjutan.
Ada juga yang mempelawa saya makan tengah hari bersama mereka namun saya tolak dengan baik kerana “masa itu emas” bagi saya dan mereka juga tahu akan perkara itu.
Selain nama, pertalian, jantina dan alamat, maklumat yang lain direkodkan dengan cara menghitamkan kotak kecil yang berkaitan pada borang banci.
Pada borang berkenaan juga ada nota yang mengingatkan kami pembanci tentang perkara yang perlu dilakukan untuk mengumpul data. Contohnya, ada satu nota yang dibaca: Sebuah isi rumah merupakan sekumpulan orang yang tinggal dan makan bersama. Justeru, anda mungkin dapati ada lebih daripada sebuah isi rumah yang tinggal di sesebuah kediaman. (Memang ada kes sedemikian).
Susun atur individu yang tinggal di sesebuah kediaman disediakan agar pembanci tidak terlepas pandang, bermula dengan ketua isi rumah; isteri ketua isi rumah; anak yang belum berkahwin; ibu dan bapa (dan/atau nenek/datuk) ketua isu rumah atau isterinya; saudara lelaki; saudara perempuan; lain-lain pasangan berkahwin dan anak-anak mereka; pasangan berkahwin tanpa anak; saudara-mara ketua isi rumah, orang gaji; dan penyewa.
Pada 1970, Banci Perumahan atau kiraan tempat tinggal dijalankan dari 27 Julai hingga 9 Ogos manakala Banci Penduduk atau kiraan jumlah penduduk dilakukan dari 25 Ogos hingga 7 September. Hari Banci ialah pada 25 Ogos.
Pada masa itu, bancian dijalankan berasaskan konsep de facto, iaitu setiap orang dihitung di tempat mereka berada secara fizikal pada 25 Ogos. Ini berbeza dengan pendekatan de jure yang digunakan sekarang, iaitu pada Hari Banci setiap orang dihitung mengikut tempat kediaman mereka.
Bagi saya pendekatan de jure lebih tepat dari segi hitungan. Berdasarkan konsep de facto, mereka yang berada di rumah saudara-mara pada Hari Banci akan dihitung di situ, bukan di rumah sendiri.
Saya terpaksa berusaha sedikit untuk memahamkan orang yang ditemu bual bagaimana bancian dijalankan menurut konsep de facto. Menyedari mereka tidak akan ingat siapa bermalam di mana pada Hari Banci apabila saya menjalankan tugas saya bermula 25 Ogos hingga 7 September, saya memutuskan untuk memberi peringatan kepada mereka.
Antara kaedah yang dibuat ialah membulatkan tarikh 25 Ogos pada kalendar kuda (kalendar besar yang menyatakan hari perlumbaan kuda), jika ada, dan menasihati mereka agar membuat nota berapa ramai ahli keluarga yang bermalam di rumah pada hari berkenaan. Ini saya lakukan semasa bancian tempat kediaman dijalankan dari 27 Julai hingga 9 Ogos.
Sekalipun begitu, ketepatan maklumat tetap menjadi isu. Ini bukan kerana orang tidak mahu berikan maklumat yang tepat, cuma mereka berasakan setiap ahli keluarga mereka perlu dihitung, tidak kira di mana mereka berada, pada hari berkenaan. Mujurlah, seperti mana-mana tinjauan, bancian juga ambil kira jidar kesilapan.
Selepas bancian tempat tinggal dilakukan, didapati blok bancian saya mempunyai jumlah tempat tinggal lebih banyak berbanding kebiasaan, justeru saya mendapat bantuan daripada seorang pembanci lain untuk menjalankan kiraan jumlah penduduk.
Namanya Ahmad (bukan nama sebenar), seorang pesara kerajaan yang bertegas mahu saya membonceng Vespanya dari satu blok ke satu blok selepas mendapati saya terpaksa mengayuh sebuah basikal tua sepanjang proses bancian kediaman. Untuk itu, saya amat berterima kasih kepada Ahmad.
Sesetengah maklumat yang dikumpul seperti nama, adalah luar biasa dan seronok dibaca jika dikongsikan di sini, namun maklumat tersebut adalah sulit dan kekal sulit walaupun 50 tahun sudah berlalu. (Kami pembanci mengangkat sumpah merahsiakan maklumat yang dikumpul).
Tugas saya bersama Jabatan Perangkaan tidak berakhir dengan Banci Penduduk dan Perumahan 1970. Saya turut terlibat dalam kajian pertanian selama beberapa bulan pada tahun berikutnya, namun itu kisah lain.
Pada tahun ini, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, pada 29 Jan lalu, dilaporkan berkata sekitar 10 juta penduduk (atau 30.4 peratus daripada 32.7 juta rakyat Malaysia) telah direkodkan menerusi e-Census Banci Penduduk dan Perumahan 2020, bagi tempoh 7 Julai 2020 hingga 28 Januari 2021.
Beliau berkata sejumlah 3.3 juta tempat tinggal telah dihitung di bawah e-Census yang dibuka semula susulan pandemik COVID-19 yang menghalang pertemuan bersemuka di antara pembanci dan orang ramai.
Mohd Uzir yang juga Pesuruhjaya Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020, berkata masih terdapat 320,000 isi rumah merangkumi 1.2 juta penduduk yang telah berdaftar menerusi e-Census, belum melengkapkan maklumat mereka.
Sambil menasihati rakyat Malaysia agar melengkapkan e-Census secepat mungkin bagi mengurangkan pertemuan bersemuka, beliau berkata: “Semua penduduk digesa mengambil bahagian dalam Banci Penduduk dan Perumahan 2020 untuk memastikan tiada seorang pun yang tercicir. Kejayaan negara dan kemakmuran hidup yang kita kecapi hari ini adalah hasil maklumat yang diperoleh pada bancian-bancian terdahulu.
“Maklumat anda adalah sulit. Data anda adalah masa depan kita.” – BERNAMA