KUALA LUMPUR – Kelonggaran diberikan dengan pembukaan beberapa sektor ekonomi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 demi kelangsungan hidup orang ramai khususnya mereka dalam kategori B40.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dalam sidang media dua hari lalu, kerajaan mengumumkan pembukaan beberapa lagi baki sektor peruncitan selepas mengadakan perbincangan bersama kementerian berkaitan serta data-data dan penilaian risiko daripada Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) termasuk dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Saya menerima banyak maklum balas positif daripada orang ramai terutama peniaga kecil yang membolehkan perniagaan mereka bernafas kembali.
“Namun tidak kurang juga yang mempertikaikan mengapa PKP 2.0 ini terlalu banyak kelonggaran diberikan.
“Saya pernah menjelaskan bahawa kelonggaran ini adalah demi kelangsungan hidup orang ramai khususnya mereka dalam kategori B40,” katanya pada sidang media MKN, di sini, hari ini.
Ismail Sabri berkata, walau kelonggaran diberi, kerajaan memperketatkan dari segi prosedur operasi standard (SOP).
“Inilah aspek paling penting untuk kita mengawal penularan Covid-19 malah sekiranya ada pihak yang melanggar SOP maka tindakan tegas akan diambil,” katanya. – myMetro Online