JOHOR BAHRU – Keluarga kepada dua remaja yang maut dalam kemalangan melibatkan basikal lajak empat tahun lepas melahirkan rasa syukur dengan keputusan terbaharu Mahkamah Tinggi di sini berhubung kes berkenaan.
Terdahulu, Hakim Mahkamah Tinggi, Dr Shahanaz Sulaiman mengarahkan tertuduh Sam Ke Ting, 26, untuk membela diri setelah pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie, sekali gus mengetepikan perintah dibuat Mahkamah Majistret pada Oktober 2019 untuk melepas dan membebaskan tertuduh.
Keputusan itu dibuat ketika prosiding keputusan rayuan pendakwaan terhadap perintah berkenaan di sini, pagi ini.
Bapa kepada salah seorang remaja berkenaan, Azzuraimee Azik berkata keputusan itu diharapkan dapat memberi keadilan yang sewajarnya kepada mangsa dan keluarga yang terlibat dalam kejadian berkenaan.
“Keputusan sebelum ini menunjukkan seolah-olah kesalahan sepenuhnya adalah berpunca daripada mangsa sendiri dan ahli keluarga, manakala tertuduh dilepas dan dibebaskan begitu sahaja.
“Jadi dengan keputusan terbaharu ini, kami berharap ada keadilan terhadap anak kami dan kami sekeluarga kerana kejadian ini sudah berlaku sekian lama,” katanya ketika ditemui pemberita di luar kamar Mahkamah Tinggi di sini bagi mengikuti keputusan rayuan pendakwaan di sini.
Sementara itu, ibu kepada seorang lagi remaja Fauzan Halmijan yang turut maut dalam kejadian itu, Nur Cahya Amrun, 40, pula berkata dia dan keluarga menerima seadanya keputusan perbicaraan yang diputuskan mahkamah.
“Saya ingat perkara ini sudah selesai sebab hari itu (dua tahun lalu) tertuduh sudah dibebas. Saya pun tidak mahu perkara ini melarat kerana anak saya pun sudah tiada.
“Mungkin memang betul kita salah, budak ni pun mungkin salah, semua salah dalam hal ini. Jadi kita tunggu sahajalah mana keputusan yang terbaik,” ujarnya.
Mengikut pertuduhan, Sam yang ketika kejadian berusia 22 tahun, didakwa memandu kereta bernombor pendaftaran JQB 9984 di Jalan Lingkaran Dalam, di sini, secara melulu atau dengan berbahaya hingga menyebabkan kematian lapan penunggang basikal pada pukul 3.20 pagi, 18 Februari 2017.
Kelapan-lapan remaja yang maut dalam kemalangan itu ialah Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14 (ketika kejadian); Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin, 16.
Sam didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda RM20,000, jika sabit kesalahan.
Tarikh perbicaraan bagi tertuduh membela diri ditetapkan selama tiga hari bermula 9 hingga 11 Mei tahun ini. – BERNAMA