JAKARTA – Walaupun lawatan rasmi ke Indonesia tidak sampai 24 jam, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkannya sebagai amat berjaya.
Perdana Menteri bersyukur kerana walaupun lawatan singkat, tetapi ia memberi banyak faedah kepada kedua-dua negara.
“Saya rasa sukacita kerana lawatan ini boleh dikatakan amat berjaya,” katanya pada sidang media di akhir lawatan itu.
Muhyiddin tiba di ibu negara ini petang semalam, dan lawatan tidak sampai 24 jam itu dibuat dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, dengan mengambil kira situasi semasa pandemik COVID-19.
Muhyiddin berkata banyak perkara yang dapat dibincangkan dalam pertemuan empat mata selama sejam dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) dan mendapat persetujuan bersama.
“Lawatan cukup berhasil, persefahaman terjalin. ‘Body language’ (bahasa tubuh) presiden sangat mesra.
“Sampai beliau (Jokowi) kata kalau ada apa-apa boleh ‘call’ tiap-tiap hari pun tak apa,” kata perdana menteri.
Muhyiddin berkata hasil pertemuan secara bersemuka itu mungkin sukar dicapai sekiranya pertemuan dibuat secara maya sahaja. – BERNAMA