KUALA LUMPUR – Pengasas Gerakbudaya, Chong Ton Sin mengesahkan sudah memberi keterangan kepada polis berhubung siasatan buku berjudul ‘My Story: Justice in the Wilderness’ yang didakwa berunsur hasutan, penghinaan dan fitnah.
Gerakbudaya adalah syarikat penerbit buku itu yang ditulis bekas Peguam Negara, Tommy Thomas.
Ton Sin berkata, beliau dirakam percakapan hampir sejam di pejabatnya dekat Petaling Jaya, Jumaat lalu.
“Pada 5 Februari lalu, pejabat saya didatangi beberapa anggota dan pegawai polis dipercayai dari Bukit Aman.
“Mereka rakam keterangan saya untuk bantu siasatan kes buku itu,” katanya pada BH, hari ini.
Semalam, Tommy dilaporkan akan memberikan kerjasama penuh berhubung lebih 100 laporan polis yang dibuat terhadapnya berikutan penerbitan buku itu.
Peguam Tommy, Sangeet Kaur Deo, dipetik berkata bekas Peguam Negara itu sendiri menulis dan menawarkan untuk memberi kerjasama kepada polis.
Kelmarin, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata polis setakat ini menerima 134 laporan terhadap Tommy berhubung penerbitan bukunya itu.
Susulan itu, polis membuka tiga kertas siasatan daripada keseluruhan laporan polis yang diterima di seluruh negara.
Pada Jun tahun lalu, Gerakbudaya menimbulkan kontroversi selepas gambar pada kulit buku terbitannya bertajuk ‘Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia’ dikatakan menghina Jata Negara.
Berdasarkan gambar tular di media sosial, lukisan mirip Jata Negara itu memaparkan seorang kanak-kanak berbogel di atas bulan dan bintang serta imej dua ekor harimau diubah suai, selain menambah bentuk seekor buaya di bahagian bawah yang biasanya tertera cogan kata Bersekutu Bertambah Mutu. – BH Online