KUALA LUMPUR – Perhimpunan Agung UMNO 2020 akan diadakan pada 27 dan 28 Mac ini yang dijalankan secara bersemuka dan maya selepas diputuskan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, kata Setiausaha Agung, Datuk Seri Ahmad Maslan.
MKT juga memutuskan pelaksanaan perhimpunan itu adalah kombinasi pertemuan bersemuka dan secara maya dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Segala SOP berdasarkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan akan dipatuhi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengikut perancangan asal, Perhimpunan Agung UMNO 2020 sepatutnya diadakan pada 31 Januari lalu tetapi ditangguhkan kerana pengisytiharan darurat dan pelaksanaan PKP.
Ahmad turut mengumumkan pelbagai aktiviti akan dilaksanakan sempena sambutan ulang tahun ke-75 UMNO termasuk sayembara penulisan puisi, video pendek dan mencipta logo. – BH Online