KUCHING – Kumpulan penari tarian naga dan singa terpaksa berehat dan bakal kehilangan pendapatan mereka pada sambutan Tahun Baharu Cina kali ini kerana pertunjukan tradisional itu tidak dibenar diadakan, susulan wabak COVID-19.
Tidak terkecuali ialah Sarawak Elite Dragon and Lion Dance Association di sini.
Ketua Jurulatih kumpulan persatuan itu Kelvin Ng, 40, berkata lazimnya, sambutan perayaan Tahun Baharu Cina, adalah waktu yang sangat sibuk baginya dan mengakui beliau tidak pernah meraikan Tahun Baharu Cina di rumah bersama keluarga kerana sering kali sibuk dengan persiapan persembahan tarian singa.
Namun, tahun ini, beliau dan pasukannya ‘dipaksa’ untuk berehat dan meraikan tahun baharu di rumah bersama keluarga masing-masing.
“Kali ini saya akan berehat sepenuhnya. Selama 29 tahun yang lalu, saya tidak pernah rasa senggang seperti ini. Ini kali pertama.
“Kebiasanya, semasa perayaan sambutan Tahun Baharu Cina, saya akan bangun seawal pukul 4 pagi untuk mempersiapkan diri bagi persembahan tarian singa dari rumah ke rumah dan premis lain di sekitar Kuching hingga 9 malam,” katanya kepada Bernama di sini.
Beliau juga mengakui bahawa mereka akan kehilangan pendapatan yang lumayan kerana tidak dapat mempersembahkan tarian semasa perayaan Tahun Baharu Cina, kali ini.
“Tanpa pendapatan, ahli kami terpaksa menyumbang RM50 setiap seorang untuk membayar sewa premis latihan kami di Jalan Sungai Maong Tengah (di Kuching) dan perbelanjaan lain,” katanya.
Oleh itu, beliau berharap agar pihak berwajib dapat membantu mereka dan memohon kerajaan membenarkan latihan dan persembahan tarian singa diadakan secepat mungkin.
Persatuan Tarian Naga dan Singa Elit Sarawak mempunyai lebih 200 ahli berdaftar. – BERNAMA