KOTA KINABALU – Rakaman video memaparkan dua anggota polis memberi nasihat sebelum menghulurkan wang kepada seorang kanak-kanak mendapat pujian ramai.
Video berdurasi 42 saat yang tular menerusi aplikasi TikTok berkenaan berjaya menarik lebih 4,000 komen, sejak semalam.
Difahamkan, kejadian membabitkan dua anggota Balai Polis Kota Kinabalu itu berlaku pada jam 3.40 petang, di sekitar Jalan Api-Api Centre di pusat bandar ini.
Kedua-dua anggota polis terbabit dikatakan bimbang melihat kehadiran seorang kanak-kanak yang berjalan seorang diri di kawasan berkenaan dan terus memanggilnya untuk bertanyakan keadaan sebenar.
Bagaimanapun, kanak-kanak terbabit memberitahu dia ingin berdikari mencari duit untuk membantu keluarganya menjual keropok.
Simpati dengan keadaannya, anggota polis terbabit terus memberikan sedikit sumbangan ikhlas berbentuk wang tunai kepada kanak-kanak terbabit.
Selain itu, kedua-dua anggota polis terbabit turut menasihatkan kanak-kanak itu supaya berhati-hati dan diminta untuk terus balik ke rumah demi keselamatannya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji ketika dihubungi mengesahkan kedua-dua anggota polis dalam rakaman tular berkenaan adalah anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.
Katanya, disamping menjalankan tugas menjaga keselamatan, polis juga mempunyai sifat mulia untuk membantu sesiapa saja selagi termampu. – myMetro Online