KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menemui dua kes pertama individu yang dijangkiti Varian Nigeria SARS-CoV-2, yang juga dikenali sebagai B1.525, di Malaysia.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes berkenaan dikesan daripada dua warganegara asing yang tiba dari Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan didapati positif Covid-19 melalui ujian calitan.
Menurutnya, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) kemudian menjalankan penjujukan genom penuh selepas mengambil kira sejarah perjalanan individu terbabit.
Katanya, analisis lebih lanjut menunjukkan terdapat semua mutasi yang dilaporkan berkait dengan varian berkenaan.
“Ini termasuk mutasi ‘spike protein’ E484K, Q677H, F888L dan rangkaian ‘protein deletions’ serupa yang dilihat dalam varian UK B.1.1.7. Mutasi ‘spike protein’ E484K juga mendapat perhatian kerana ia dilaporkan dapat menghindari sistem imunisasi.
“Varian Nigeria yang dikenali sebagai B.1.525, pertama kali dikesan di United Kingdom (UK) dan Nigeria pada Disember tahun lalu.
“Varian ini juga boleh menyebabkan peningkatan dalam kebolehjangkitan serta kemungkinan penurunan tindak balas imunisasi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, KKM melalui IMR dan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) akan sentiasa memantau perkembangan mutasi Nigeria ini dan akan memaklumkan masyarakat umum dari semasa ke semasa.
“Walaupun program vaksinasi sedang dilaksanakan, tindakan kesihatan awam masih perlu diamalkan kerana imuniti kelompak masih belum tercapai.
“Orang ramai dinasihati agar sentiasa mengamalkan kebersihan kendiri dengan kerap membasuh tangan, memakai pelitup muka terutamanya di tempat awam dan menjaga penjarakan fizikal setiap masa,” katanya. – myMetro Online