AYER KEROH – Program Imunisasi COVID-19 peringkat negeri yang bermula hari ini, menyaksikan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali menjadi individu pertama menerima suntikan vaksin jenis Pfizer-BioNTech terbabit.
Beliau antara 1,097 individu terawal yang menerima vaksin berkenaan bersama wakil rakyat serta petugas barisan hadapan di negeri ini.
Turut menerimanya, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin serta EXCO Kesihatan dan Antidadah negeri, Datuk Rahmad Mariman.
Ketika ditemui, Sulaiman berkata, daripada jumlah yang menerima suntikan pertama dos vaksin COVID-19 hari ini, 1,037 adalah membabitkan petugas barisan hadapan kesihatan manakala 60 lagi terdiri daripada petugas kerajaan negeri termasuk anggota EXCO dan wakil rakyat.
“Di peringkat kerajaan negeri, hanya 60 orang termasuk EXCO akan terima suntikan hari ini. Jika ada yang mendakwa ahli politik, anggota keluarga potong barisan, datanglah sini tengok, adakah saya membawa isteri atau anak.
“Kerajaan negeri hanya menghantar cadangan nama individu yang layak untuk terima suntikan dan keputusan itu dibuat oleh Kementerian Kesihatan, bukan ditentukan oleh kerajaan negeri,” katanya.
Beliau turut menasihatkan rakyat di negeri ini supaya tidak bimbang untuk mendapatkan suntikan vaksin itu demi kebaikan diri serta keluarga.
“Saya ambil suntikan tadi tidak terasa apa pun kerana jarum yang digunakan sangat halus dan saya berterima kasih kepada ‘vaccinator’ yang membuat suntikan kerana melakukannya dengan penuh tertib dan beradab,” katanya.
Di Melaka, seramai 12,870 petugas barisan hadapan akan menerima suntikan bagi fasa pertama, manakala fasa kedua yang dijadualkan pada bulan depan hingga Ogos pula akan membabitkan 250,000 orang terdiri daripada kumpulan warga emas berumur 60 tahun ke atas, golongan berisiko tinggi serta orang kelainan upaya (OKU).
Fasa ketiga pula pada September hingga Februari tahun hadapan, seramai 400,000 penduduk Melaka yang berumur 18 tahun ke atas akan menerima vaksin yang membabitkan warganegara dan bukan warganegara.
Terdapat 23 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Melaka yang membabitkan 19 fasiliti kesihatan manakala empat lagi fasiliti kerajaan iaitu di Dewan Seri Negeri, Ayer keroh, Dewan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Dewan Kementerian Dalam Negeri serta Dewan Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Melaka. – BH Online