PUTRAJAYA – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan meneliti setiap pandangan dikemukakan pemain industri dan komited mengambil tindakan terhadap perkara yang berada dalam bidang kuasanya, bagi membantu meningkatkan sektor pelancongan di negara ini.Â
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata MOTAC sentiasa berkomunikasi dan bekerjasama dengan penggiat industri pelancongan seni dan budaya dalam mendengar keluhan mereka dan mengemukakan cadangan dibincangkan.
“Pada Februari lalu saja, MOTAC mengadakan lima sesi libat urus menerusi Jawatankuasa Pasukan Pengurusan Krisis membabitkan lebih 30 wakil industri, bagi mendapatkan maklum balas mengenai cabaran dihadapi dan cadangan diusulkan.
“Hasil perbincangan berterusan dengan penggiat industri ini, kita akan meneruskan usaha mengemukakan pandangan dan cadangan dalam memastikan kelangsungan industri pelancongan negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengenai isu dibangkitkan pihak industri namun bukan di bawah bidang kuasa MOTAC seperti Program Subsidi Upah (PSU) dan pembukaan sempadan antarabangsa, Nancy berkata, pihaknya sudah membawa cadangan dan usul kepada kementerian berkaitan untuk tindakan.
Beliau berkata, MOTAC turut membawa cadangan dalam libat urus ke mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan hasilnya adalah kebenaran aktiviti pelancongan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) serta Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Katanya, MOTAC juga membentangkan impak dan strategi pemulihan industri pelancongan kepada Majlis Tindakan Ekonomi (MTE) dan ia diterima majlis berkenaan.
“Pada masa ini, tindakan diambil MOTAC adalah juga berasaskan kepada keputusan itu,” katanya.
Bagi sektor seni dan budaya pula, Nancy berkata, MOTAC turut memanjangkan isu yang dibangkitkan penggiat sektor itu secara berterusan dan hasilnya, kerajaan baru-baru ini mengumumkan pembukaan semula premis seni, budaya dan warisan.
“Ini termasuk muzium, perpustakaan, galeri seni, pusat atau kampung seni warisan budaya dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi sektor pelancongan dan kebudayaan.
“Saya percaya kerjasama erat menerusi sesi libat urus yang kerap dan konsisten akan mencapai kesepakatan dalam membantu setiap penggiat dalam rantaian ekonomi pelancongan, seni dan budaya untuk kita bersama-sama bangkit menyemarakkan semula industri pelancongan, seni dan budaya negara,” katanya. – BERNAMA