KUANTAN – Pahang adalah antara negeri terawal yang menerima agama Islam berdasarkan kepada Makam Permatang Pasir yang bertarikh 1028 iaitu lebih awal dari tarikh Batu Bersurat Terengganu 1303 dan Melaka 1400.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, penemuan itu bukan sahaja untuk menyatakan Pahang adalah negeri terawal yang menerima Islam, tetapi juga penting untuk menunjukkan bahawa ajaran Islam jauh lebih awal telah bertapak di Alam Melayu.
“Justeru penemuan seperti ini perlu diketengahkan bagi memperbaiki hasil kajian sebelumnya,” titah baginda Sempena Majlis Taklimat Cadangan Menandatangani MOA Penubuhan Pusat Kajian Sejarah Dan Tamadun Pahang Al-Sultan Abdullah di Kutubkhanah Diraja Kuantan, hari ini.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin.
Baginda juga berpendapat cadangan mewujudkan Pusat Kajian Sejarah Dan Tamadun Pahang Al-Sultan Abdullah ini amat bertepatan pada ketika masyarakat mula dilalaikan dengan cara hidup moden yang melekakan.
“Sejarah adalah perkara penting sebagai asas untuk membangunkan sesebuah tamadun manusia. Oleh sebab itu, penulisan semula sejarah tanah air amat penting bagi membetulkan penulisan sejarah yang dibuat oleh orientalis terutama ketika penjajahan British di Tanah Melayu.
“Saya percaya pusat kajian ini bukan sahaja boleh menjadi entiti penting untuk melengkapkan peranan muzium sebagai pusat pendidikan dan rujukan tetapi juga membolehkan segala bahan sejarah dan budaya Negeri Pahang khasnya dan Malaysia amnya akan dapat dikaji dengan lebih mendalam.
“Melalui pusat kajian ini juga, ruang dan peluang yang lebih besar akan dapat dimanfaatkan oleh pengkaji-pengkaji tempatan dan luar negara untuk menyelidik, menerokai dan memahami sejarah tanah air,” titah baginda.
Dalam pada itu, baginda juga menaruh harapan yang tinggi agar pusat itu nanti bukan semata-mata akan menjadi pusat rujukan berguna untuk universiti tempatan dan luar negara tetapi juga dapat memberi manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia yang berminat mengetahui sejarah tanah air mereka.
“Saya fikir ini satu bentuk pelaburan jangka panjang yang penting untuk memastikan generasi hari ini dan akan datang dapat mengenali dan menghargai sejarah serta jati diri mereka sendiri.
“Apa yang kita usahakan hari ini bukanlah untuk kita, tetapi untuk anak cucu yang bakal mewarisi bumi Malaysia seperti apa yang kita ada sekarang adalah atas usaha yang dilakukan oleh datuk nenek kita beratus-ratus tahun dahulu,” titah baginda. – BH Online