KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, memutuskan bahawa keputusan Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 150(1) dan 150(2B) Perlembagaan Persekutuan berhubung pengisytiharan darurat tidak boleh dicabar menerusi semakan kehakiman.
Keputusan itu selepas Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid mendapati bahawa Perkara 150(8) Perlembagaan Persekutuan adalah sah dan berperlembagaan.
Mahkamah memutuskan demikian selepas menolak permohonan tiga wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) bagi memulakan semakan kehakiman terhadap peranan Perdana Menteri dalam perisytiharan darurat dan penggantungan Parlimen serta Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara.
Mereka ialah Ahli Parlimen Pulai, Johor, Datuk Seri Salahuddin Ayub (AMANAH); Ahli Parlimen Sungai Petani, Kedah, Johari Abdul (PKR) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi, Perak, Abdul Aziz Bari (DAP).
Mahkamah dalam penghakimannya, berkata Perkara 150(8) menutup pintu undang-undang daripada sebarang permohonan atau tindakan mencabar proklamasi dan ordinan yang di bawah undang-undang darurat.
“Perlembagaan Persekutuan juga tidak menggariskan tanggungjawab dari segi undang-undang kepada responden pertama untuk bertindak dalam cara yang dikehendaki pemohon.
“Oleh itu, relif yang dimohon oleh pemohon adalah salah di sisi undang-undang,” katanya.
Pada prosiding itu, Peguam-Peguam Kanan Persekutuan, Suzana Atan, S Narkunavathy mewakili kerajaan manakala pemohon-pemohon diwakili oleh peguam Datuk Gurdial Singh Nijar dan Christopher Leong.
Pada 26 Januari lalu, ketiga-tiga mereka memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi untuk kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman terhadap peranan Perdana Menteri dalam perisytiharan darurat dan penggantungan Parlimen serta Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara.
Mereka memfailkan permohonan untuk mencabar nasihat yang diberikan oleh Muhyiddin kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Mereka memfailkan permohonan itu bagi membolehkan Klausa 11, 14 dan 15 Ordinan Darurat yang dikatakan tidak berperlembagaan disemak oleh mahkamah.
Permohonan ini juga bagi membolehkan kuasa-kuasa oleh Perdana Menteri dan Kabinet serta Menteri Besar, Ketua Menteri dan Exco yang dikatakan tidak dapat dipertanggungjawabkan kepada Parlimen atau DUN disemak.
Pada 12 Januari lalu, Agong memberi perkenan darurat dilaksanakan hingga 1 Ogos atau lebih awal, jika jumlah kes Covid-19 dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan. – BH Online