KUALA LUMPUR – Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU 2020) akan diadakan pada 27 dan 28 Mac ini, kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Menurut beliau, PAU 2020 mencatatkan sejarah tersendiri kerana julung kalinya akan diadakan secara kombinasi bersemuka dan maya.
“Ia diadakan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan secara maya di 190 UMNO bahagian,” katanya pada kenyataan hari ini.
Menurut Ahmad, Perhimpunan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO akan dirasmikan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan di Dewan Merdeka pada 27 Mac.
“Perasmian PAU 2020 oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula pada 28 Mac, jam 8.30 pagi di Dewan Merdeka.Â
“Selepas ucapan perasmian, ketua-ketua sayap akan menyampaikan ucapan dasar di dewan ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata, perbahasan sayap adalah berdasarkan ucapan dasar presiden yang antara lain menyentuh politik, agama, sosial, agama, antarabangsa dan isu semasa.
Menurutnya, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Wilayah Persekutuan meluluskan perhimpunan berkenaan 19 Mac lalu.
“Tiada gerai jualan dan kenderaan saji dibenarkan beroperasi pada PAU 2020 ini.Â
“UMNO akan mematuhi segala SOP ditetapkan seperti pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal,” katanya.Â
Dalam pada itu, petugas media diberikan taklimat berkaitan Prosedur Operasi Standard (SOP) liputan PAU 2020.
Untuk kali ini, tiada petugas media dibenarkan membuat liputan di dalam dewan seperti kebiasaannya.
Sebelum ini, Ahmad mengumumkan penangguhan perhimpunan itu yang dijadualkan berlangsung pada 30 dan 31 Januari, selaras dengan proklamasi darurat dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan. – myMetro Online