TINDAKAN Korea Utara memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia tidak akan memberi kesan kepada ekonomi negara ini.
Itu jaminan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) yang juga Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Jaminan itu berasas kerana Malaysia boleh dikatakan sudah hampir tiada langsung hubungan dagangan dengan Korea Utara.
Terutama selepas insiden pembunuhan Kim Jong-nam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada 2017.
Nilai dagangan paling besar antara kedua-dua negara pun cuma RM18.9 juta pada 2016 khususnya melibatkan arang batu.
Selepas itu hubungan ekonomi Malaysia – Korea Utara sudah boleh dinobatkan hampir sifar.
Maka bukan omong-omong kosong Dato’ Pa membayangkan Malaysia tidak patut gentar dengan ugutan Korea Utara dalam aspek ekonomi.
Jika pun Korea Utara ada hasrat menganggu gugat dagangan Malaysia pasti tidak sejauh mana impak mampu diterjemahkan.
Lagipun kena ingat Mustapa Mohamed atau lebih dikenali sebagai Dato’ Pa bukan nama kecil dalam ekonomi antarabangsa.
Jaringan dan rangkaian bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu dalam sistem dagangan dunia bukan ‘kaleng-kaleng’.
Nama beliau agak tersohor dalam kalangan pelabur asing.
Pelaburan asing Malaysia malah mencapai tahap paling memberangsangkan semasa dibawah pentadbiran beliau.
Beliau antara individu utama memainkan peranan dalam Rundingan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) sebelum ini.
Andai ada usaha sabotaj dagangan Malaysia oleh Korea Utara pasti anak jati Kelantan itu dengan pengalaman dan pengaruhnya dapat ‘counter’.
Jika dalam aspek pertahanan persenjataan kita ada ATM dan PDRM, dalam aspek pertahanan ekonomi kita ada Dato’ Pa. – Mynewshub.TV