APA khabar Tok Pa? Lama tidak dengar cerita? Itu soalan pertama saya semasa bertemu pegawainya di Putrajaya baru-baru ini.
Rakan lama saya itu sekadar tersenyum. Seterusnya dia berkata Tok Pa (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) baik-baik sahaja.
Kemudian berterusanlah kami bercerita tentang sosok bernama Datuk Seri Mustapa Mohamed yang berasal dari Bachok, Kelantan.
To Pa bukanlah nama yang asing dalam kalangan masyarakat. Telah Berkecimpung dalam pentadbiran negara dan politik tanah air sejak 26 tahun lalu.
Pernah menjadi Menteri Pembangunan Usahawan dan Menteri Kewangan Kedua di antara tahun 1994 sehingga tahun 1999.
Pernah juga menyandang portfolio Menteri Pengajian Tinggi, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia di antara tahun 2004 sehingga 2009.

Malah pernah dilantik sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dari tahun 2009 sehingga 2018.
Kerana itu beliau sangat terkenal di persada antarabangsa terutama dalam kalangan pelabur asing.
Dibawah pimpinan beliau menyaksikan betapa pelaburan asing di Malaysia mencapai tahap yang sangat memberangsangkan.
Mungkin sebab itu Tok Pa tetap dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Begitu banyak kami perkatakan tentang Ahli Parlimen Jeli itu, namun paling menarik perhatian tentang peribadi Tok Pa yang ‘low profile’.

Saya bersetuju dengan pandangan sahabat saya itu. Tok Pa yang saya ketahui memang begitu sikapnya sejak dari dahulu.
Rakan saya kata Tok Pa masih dengan caranya yang sama walaupun berada dalam kerajaan baharu. Bekerja dan terus bekerja.
Tok Pa bekerja untuk negara tanpa gegak gempita. Seorang yang ‘result oriented’ berbanding mahu mengejar populariti.
Katanya, ramai kurang sedar portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) memainkan peranan penting dalam perancanaan memulihkan ekonomi negara.

Sebagai contoh dalam isu hutang Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang mencecah RM10.7 bilion sejak tahun 2013.
Satu Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan dan Keberkesanan Pelan Pemulihan Felda telah ditubuhkan dibawah gerak kerja beliau.
Dan langkah-langkah pemulihan tersebut beliau sasarkan bakal membawa hasil positif ke atas Felda pada 2023.
Sebenarnya banyak lagi yang boleh diceritakan tentang Tok Pa tentang jasa dan sumbangannya kepada rakyat dan negara.
Ini belum termasuk tentang pelbagai bantuan dan kerja-kerja beliau untuk masyarakat di kawasan Parlimennya di Jeli.

Tetapi itulah Tok Pa. Berkhidmat dengan keikhlasan. Menziarahi penduduk tanpa membawa selori bahan makanan semata-mata untuk bergambar.
Keesokannya dua buah lori memasuki kawasan itu untuk mengagihkan barang keperluan kepada penduduk tanpa kelibat beliau.
Perbualan kami seterusnya berkisar tentang Tok Pa meninggalkan UMNO dan seterusnya berada dalam barisan pentadbiran kerajaan PN.
Apa yang kami dapat simpulkan Tok Pa berbuat demikian ada sebab musabab. Semasa mengumumkan perkara itu pada 2018 beliau pernah menjelaskan:
“Sudah tiba masanya semua pihak tanpa mengira fahaman politik dapat mencari satu titik persamaan demi kepentingan rakyat.” – Mynewshub.TV