PUTRAJAYA – Warga emas dan kanak-kanak tidak digalakkan menonton perlawanan bola sepak di stadium kerana menjadi golongan berisiko terdedah jangkitan COVID-19.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berkata buat masa ini tiada undang-undang khusus untuk menghalang golongan terbabit memasuki stadium, namun pihaknya berharap saranan itu dapat dipatuhi.
Beliau berkata, pihaknya kini mengambil langkah yang sangat berhati-hati untuk meyakinkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) membenarkan penyokong atau digelar pemain ke-12 kembali ke stadium.
“Kanak-kanak tidak digalakkan, begitu juga mereka yang berusia 60 tahun ke atas. Ini kumpulan mudah (dijangkiti) dan terdedah (dengan risiko). Saranan ini diberikan kerana buat masa ini tiada undang-undang yang boleh menghalang mereka untuk pergi.
“Saya mahu yakinkan MKN dan KKM bahawa apa yang dikatakan saya kepada mereka ini boleh jadi realiti. Sebab itu saya buat percubaan atau ‘Proof of Concept’ (POC) dan bawa mereka untuk lihat sendiri.
“Dalam masa yang sama, saya juga mahu lihat penonton sama ada mereka ini boleh menjaga tingkah laku (mematuhi peraturan). Mereka (penonton) boleh datang dan buktikan. Saya seorang sahaja bercakap dan yakinkan kerajaan tidak cukup,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Surat Pelantikan Panel Of Experts (POE), di sini hari ini.
Reezal turut meminta kerjasama peminat sukan berkenaan untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan menunjukkan testimoni yang baik ketika perlawanan berkenaan.
“Jika mereka gagal tunjuk testimoni (yang baik) dan yakinkan pihak MKN, usaha untuk membawa masuk penonton pada perlawanan berikutnya tidak dapat dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata, POC itu sangat penting terutama ketika perjalanan keluar masuk penonton ke stadium ketika perlawanan berlangsung.
“Ada stadium yang mempunyai dua atau tiga pagar serta ada juga pagar yang besar serta boleh buat dua laluan. Jadi semua ini akan diperhalusi oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan KBS (Kementerian Belia dan Sukan).
“Saya akui ia bukan satu benda yang mudah, walaupun 2,000 penonton itu nampak sedikit tetapi bayangkan kalau mereka ini berada dalam keadaan berkelompok. Sudah tentu MKN dan KKM tidak benarkan.
“Perkara ini yang akan diperhalusi, namun perjuangan ini tak boleh digalas oleh MFL dan KBS atau pun saya berseorangan, tetapi ia adalah perjuangan bersama,” katanya.
Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan MKN bersetuju membenarkan kehadiran penonton ke stadium atau venue bagi kejohanan sukan seperti Liga Malaysia berkuat kuasa 1 April ini.
Bagaimanapun, ia mestilah mematuhi syarat yang ditetapkan iaitu 10 peratus kapasiti atau 2,000 penonton di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), manakala bagi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pula adalah 25 peratus kapasiti atau 8,000 penonton dengan kedua-duanya membabitkan kawalan penyeliaan sepanjang masa. – BH Online