KUALA LUMPUR – Seramai 451,237 individu melengkapkan dua dos suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang memasuki fasa kedua, setakat semalam.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata bagi dos pertama pula, seramai 726,411 individu sudah menerima suntikan imunisasi terbabit dalam tempoh sama.
Katanya, ini menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua vaksin COVID-19 seramai 1,177,648 individu.
“Daftar segera di aplikasi MySejahtera atau laman web vaksincovid.gov.my atau hubungi talian 1800 88 8828,” katanya menerusi ciapan di akaun Twitter rasminya hari ini.
Dalam ciapan sama, Dr Adham turut memuat naik infografik laporan harian pemberian dos vaksin mengikut negeri.
Berdasarkan infografik itu, Selangor muncul negeri tertinggi menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 dengan 101,208 diikuti Kuala Lumpur (80,978), Johor (70,999), Sarawak (70,592) dan Perak (60,384).
Selangor turut menjadi negeri tertinggi yang melengkapkan dua dos suntikan vaksin setakat ini dengan seramai 64,306 individu sudah menerimanya diikuti Perak (48,926), Sabah (43,452), Kuala Lumpur (40,681) dan Sarawak (35,653).
Program imunisasi kebangsaan bermula 24 Februari lalu dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi individu pertama menerima vaksin COVID-19, empat hari selepas bekalan vaksin pertama negara keluaran Pfizer-BioNTech tiba.
Malaysia kini berada dalam fasa kedua program vaksinasi yang bermula semalam hingga Ogos ini untuk kira-kira 9.4 juta warga emas berusia 60 tahun ke atas dan golongan berisiko tinggi.
Fasa pertama yang bermula Februari lalu menyasar memberi vaksin kepada 500,000 petugas barisan hadapan.
Fasa ketiga pula akan bermula pada Mei hingga Februari tahun depan dan disasarkan untuk sekitar 13.7 juta penduduk di Malaysia berusia 18 tahun ke atas sama ada rakyat tempatan atau warga asing. – BH Online