FELDA ditubuhkan pada 1 Julai 1956 di bawah Ordinan Kemajuan Tanah 1956 (Akta 474).
Sejak itu para peneroka terlibat bersama kerajaan melaksanakan pembangunan tanah di negara ini.
Ia juga bertujuan menangani isu kemiskinan melalui penanaman tanaman minyak sawit dan getah.
Apa pun memang beruntung jadi peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).
Sejak dulu kerajaan sentiasa mengambil berat tentang kehidupan warga Felda.
Pelbagai bantuan dan inisatif diambil kerajaan untuk melonjak taraf kehidupan mereka.
Terbaru, kerajaan memperuntukkan RM100 juta untuk Program Pembangunan Peneroka (PPP).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) memaklumkan peruntukan itu untuk seluruh negara.
Halia akan menjadi fokus utama PPP tahun ini kerana import halia ketika ini bernilai RM200 juta setahun.
Justeru, kata Datuk Seri Mustapa Mohamed, PPP antara usaha kerajaan mengurangkan import negara untuk bahan berkenaan.
Ia juga peluang untuk para peneroka Felda menguasai pasaran yang sedang tinggi tersebut.
Bagaimanapun ada isu yang masih menjadi dilema iaitu keazaman peneroka terlibat.
Banyak cerita kita dengar tentang projek yang diusahakan di kawasan Felda sebelum ini separuh masak.
Permulaan begitu semangat, selepas beberapa waktu projek ke mana, peneroka entah ke mana.
Benar hanya segelintir begitu, tetapi ini yang dinamakan kerana nila setitik rosak susu sebelanga.
Justeru, kali ini peluang yang ada usahakan sehabis baik. Jangan sia-siakan peruntukan sebesar itu.
Peruntukan RM100 juta untuk Program Pembangunan Peneroka (PPP) manfaatkan sehabis baik.
Jangan belum duduk sudah berlunjur. Amal berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian. – Mynewshub.TV