MALAYSIA membayar RM320,270,519.24 kepada Singapura sebagai pampasan pembatalan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura.
Ramai terkejut. Ok saja untuk sesiapa berasa terkilan, tetapi mengapa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed pula cuba dipersalahkan?
Tidak patut Dato’ Pa cuba “diperkambinghitamkan”. Beliau hanya menjalankan tugas melaksanakan dasar-dasar yang ditetapkan oleh kedua-dua negara.
Kena ingat di peringkat awal siapa yang menganggu-gugat dan mengucar-ngacirkan projek mega tersebut?
Semuanya bermula selepas Pakatan Harapan (PH) menang PRU14 dan memerintah negara. Jangan lupa juga air tangan “Council of Elders” dalam hal tersebut.

Bukankah projek itu digantung selama dua tahun oleh kerajaan PH, malah kerajaan PH sudah bersetuju membayar kos penangguhan itu kepada Singapura.
Siapakah Menteri Kewangan ketika itu yang hari ini tiba-tiba banyak bunyi kerana Malaysia perlu bayar pampasan.
Kelihatan mahu ‘play innocent’ atau ia strategi ‘cuci tangan’.
Jangan lupa Menteri Pengangkutan ketika itu juga daripada DAP. Mereka antara tiga Menteri PH yang ke Singapura bagi membuat rundingan semula projek HSR di era pentadbiran PH.

Jangan lupa juga kenyataan bekas Perdana Menteri PH, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 16 April 2019 bahawa Malaysia tidak mempunyai keperluan atau rancangan untuk melaksanakan projek rel berkelajuan tinggi.
Beliau malah menegaskan kerajaan PH ketika itu tidak merancang untuk meneruskan projek HSR dan tiada sebarang kontrak diberikan untuk projek itu.
Mahathir cuma kata Malaysia mungkin akan mewujudkan projek HSR pada masa depan bagi menghubungkan Johor Bahru di Selatan dan Pulau Pinang di Utara.
Alasan beliau pembinaan HSR untuk laluan sepanjang 350 kilometer (km) menelan belanja RM110 bilion dan jumlah itu terlalu tinggi kerana kerajaan sedang berusaha mengurangkan hutang negara RM1 trilion.

Maka apa yang diumumkan secara bersama oleh Dato’ Pa dan Menteri Singapura berhubung pampasan itu beberapa hari lalu pasti ada berkait rapat dengan dasar kerajaan PH sebelum ini.
“Bayaran S$102,815,576.00 (RM320,270,519.24) sudah dibuat kerajaan Malaysia sebagai pampasan terhadap kos ditanggung Kerajaan Singapura dalam pembangunan projek HSR.”
Apapun kita bersyukur jumlah itu telah dianggap sebagai penyelesaian penuh dan terakhir berkaitan penamatan perjanjian dua hala berkenaan.
Sekurang-kurangnya Dato’ Pa telah berjaya menamatkan kemelut berhubung projek itu yang ditimbulkan kerajaan terdahulu iaitu kerajaan PH pada kos cuma RM320 juta.
Walhal Mahathir sebelum ini mengumumkan pembatalan projek HSR berkemungkinan perlu membayar pampasan sehingga RM500 juta kepada Singapura. – Mynewshub.TV