KUALA LUMPUR – Kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau R-naught (Rt) mengikut kes harian di seluruh negara mencatatkan sedikit penurunan apabila Rt 1.16 direkodkan semalam berbanding 1.17 pada hari sebelumnya.Â
Menurut data dikongsi Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, di Facebook pagi tadi, Kelantan terus mencatatkan Rt tertinggi berbanding negeri lain bagi tempoh tiga hari berturut-turut iaitu 1.43.
Ini diikuti Kuala Lumpur pada kadar 1.28, Negeri Sembilan dengan 1.18 dan Sarawak (1.17).
Keempat-empat negeri berkenaan mencatatkan kadar Rt melebihi nilai kebangsaan.
“Selangor dan Sabah masing-masing mencatatkan Rt 1.10, Johor (1.09), Melaka (1.06), Kedah (1.09), Pahang (1.00) dan Terengganu (1.15).Â
“Negeri dan wilayah yang mencatatkan Rt bawah 1 adalah Pulau Pinang dengan 0.91, Putrajaya (0.97) dan Perak (0.82).Â
“Di Perlis terdapat tiga kes COVID-19 direkodkan dan Labuan, cuma satu kes,” katanya.
Paparan grafik turut menunjukkan trend peningkatan Rt tertinggi dalam tempoh tujuh hari lalu adalah pada 17 April dengan kadar 1.19, manakala kadar Rt terendah direkodkan pada 14 April dengan 1.14.
Nilai Rt adalah salah satu penunjuk digunakan oleh KKM dalam membuat penilaian risiko.
Semakin rendah nilai itu, semakin kurang kemungkinan jangkitan bagi setiap kes positif.
Kes baharu positif COVID-19 kembali melebihi 2,000 kes sejak 15 April lalu dengan 2,148 kes direkodkan, 16 April (2,551), 17 April (2,331), 18 April (2,195), 19 April (2,078) dan semalam (2,341). – BH Online