PETALING JAYA – Keputusan sama ada kerajaan akan membenarkan rentas negeri menjelang Ramadan beberapa hari lagi bergantung kepada kajian risiko dilakukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sekiranya kajian mendapati risikonya tinggi maka rentas negeri tidak akan dibenarkan.
“Kita jangan terlalu selesa dengan keadaan sekarang kerana kes baharu Covid-19 harian masih lagi lebih 1,000 kes.
“Waktu kita buat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh mula-mula dulu jumlah kes dilaporkan adalah 347 kes dan sekarang kes lebih 1,000. Kita masih lagi dalam keadaan angka kes yang tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Kolaborasi antara Pharmaniaga Berhad dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Hotel Royale Chulan Damansara di sini pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata, dalam situasi sekarang, kerajaan membuka ekonomi kerana mahu membantu rakyat untuk terus hidup kerana jika sektor ekonomi ditutup seperti PKP 1.0, ia akan memberi kesan besar terutama kepada peniaga mikro dan sebagainya.
“Walaupun kita buka (ekonomi), kita kawal. Keadaan nampak dah tenang ketika ini tetapi kes positif Covid-19 masih ada sekitar kita dengan jumlah masih lebih 1,000 kes.
“Jadi, apa pun tunggulah keputusan yang dibuat KKM,” katanya.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata, tindakan tegas perlu diambil sekiranya terdapat penglibatan orang dalam membabitkan kes tular borang rentas negeri kosong yang sudah ditandatangani serta dicop pihak berkuasa.
Menurutnya, keadaan itu telah melanggar peraturan yang telah ditetapkan kerana pemohon kebenaran rentas negeri perlu melalui prosedur yang ditetapkan.
“Mana boleh cop dahulu, isi kemudian sebab (polis) kena tahu apa tujuan rentas negeri. Misalnya tujuan balik kampung sebab mak atau ayah sakit, itu dibenarkan kerana kecemasan.
“Kalau keadaan seperti itu berlaku, ia memang salah dan tindakan mesti diambil kepada pihak yang mengeluarkannya,” katanya. – Sinar Harian