BUKAN main seronok tentera siber ‘balun’ Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi). Bukan mudah dapat ‘point’ serang Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Isunya tentang pasaran gaji yang rendah sewaktu pandemik Covid-19. Gara-gara Ahli Parlimen Jeli kata siswazah bergaji rendah pada waktu ini perlu bersyukur.
Laporan berita kenyataan ini tampak negatif jika dipetik secara ‘straight forward’. Jika difahami betul-betul beliau menjelaskan tentang situasi ekonomi negara.
Dato’ Pa seorang menteri berkait ekonomi maka pandangannya perlu daripada perspektif ekonomi. Keadaan ekonomi semasa yang menyebabkan ramai pihak terjejas akibat wabak Covid-19.
Benar apa Dato’ Pa kata. Pasaran pekerjaan Malaysia tahun lepas pasaran lemah. Begitu banyak perniagaan gulung tikar dan syarikat terpaksa membuang pekerja.
Banyak aktiviti ekonomi tergantung menyebabkan permintaan buruh menjadi sangat lemah. Realitinya ekonomi negara menguncup 5.6 peratus disebabkan pandemik itu.
Maka yang masih memiliki pekerjaan wajar bersyukur kerana sekurang-kurangnya masih mempunyai pendapatan bulanan pada waktu-waktu sukar begini.
Bayangkan bukan sedikit orang hilang mata pencarian kerana syarikat mengurangkan pekerja atau perniagaan terpaksa ditutup akibat Covid-19.
Golongan ini yang lebih memerlukan perhatian daripada kerajaan kerana rata-rata mereka ada keluarga dan komitmen perlu di sara.
Bagaimanapun tidak pula Dato’ Pa menafikan hak siswazah baru tamat pengajian yang rata-rata mereka belum berkahwin mendapat pembelaaan kerajaan.
Kerajaan telah mengusahakan pelbagai bentuk bantuan dan insentif untuk aktiviti ekonomi terus bergerak sekaligus menyediakan peluang pekerjaan buat mereka.
Namun dalam sistem ekonomi sedia ada kerajaan tidak boleh memaksa majikan memberi gaji melebihi kemampuan mereka.
Ini bukan negara sosialis sebaliknya negara yang membenarkan pasarannya bergerak secara bebas berlandaskan sistem penawaran dan permintaan.
Itupun kerajaan telah menetapkan kadar gaji minimum yang tidak banyak dilakukan oleh negara membangun lain.
Bagaimanapun, Dato’ Pa menjangkakan gaji permulaan bagi siswazah yang memasuki pasaran kerja akan lebih tinggi menjelang pertengahan tahun ini.
Ia berikutan keadaan ekonomi yang semakin pulih selepas program vaksinasi kerajaan dijalankan. Kerana itu beliau meminta siswazah bergaji rendah supaya bersyukur dan bersabar.
Cumanya kita membantah jika wujud anasir majikan cuba mengambil kesempatan daripada kemelesetan ekonomi untuk menindas golongan pekerja.
Mereka mampu membayar gaji mengikut kelayakan, tetapi mengambil kesempatan membayar gaji rendah untuk meningkatkan keuntungan perniagaan.
Jika keadaan ini berlaku sekali pun bukanlah semata-mata dibawah tanggungjawab Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi).
Hal itu lebih menjurus kepada Kementerian Sumber Manusia kerana akta kerja tertakluk di bawah kementerian itu.
Justeru, tentera siber jangan ‘tembak’ sembarangan. Tiada isu mahu dijadikan isu. Kesudahannya yang tidak berdosa jadi mangsa. Ini permainan propaganda yang sangat jahat dan keji. – Mynewshub.TV