PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan yakin akan mendapat kerjasama dengan pentadbiran di negeri yang dilalui oleh Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) selepas kini dijajarkan semula ke laluan asalnya, iaitu Jajaran Utara.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, pihaknya sudah berusaha dengan sebaik mungkin dan mahu bekerjasama dengan semua kerajaan negeri termasuk Selangor.
“Saya yakin, kebanyakan mereka adalah pegawai profesional dan ahli politik.
“Saya sangat yakin Menteri Besar dan pihak berkuasa negeri akan memberi kerjasama penuh kepada kami,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Tandatangan Nota Kerajaan antara Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pengangkutan, di sini, hari ini.
Ka Siong berkata demikian ketika mengulas kenyataan Exco Selangor, Datuk Teng Chang Khim semalam bahawa Kerajaan Selangor tidak akan melakukan perolehan tanah untuk kerajaan Persekutuan jika ia bertegas mahukan Jajaran Utara untuk diteruskan.
Beliau berkata, pihaknya sudah melakukan yang terbaik dan berbincang dengan semua kerajaan negeri terutama Selangor.
Katanya, pihaknya terbabit dengan 37 mesyuarat rundingan dengan 17 agensi di Selangor selain setiap isu membabitkan alam sekitar dan kesan sosial ditangani oleh kementerian itu.
Justeru, beliau berkata, apa saja keputusan sebalik isu ia adalah bersifat politik.
“Terpulang kepada mereka untuk membuat keputusan politik ini tetapi bagi kami, kami lakukan ini untuk kepentingan negara selain menjimatkan wang,” katanya.
Beliau berkata, kelewatan melaksanakan projek berkenaan menyebabkan kerajaan perlu menanggung kerugian sejumlah RM17.25 juta sehari selain projek itu tidak boleh beroperasi sepenuhnya.
Katanya, kelewatan juga akan menyebabkan kesan buruk kepada negara.
“Sebagai Kerajaan, kita harus membuat keputusan sekarang,” katanya.
Portal berita Malaysiakini semalam melaporkan, Chang Khim menyifatkan Putrajaya bertindak seakan ‘pembuli besar’ dan mengatakan kerajaan negeri tidak akan membantu perolehan tanah untuk projek itu.
“Kerajaan Persekutuan bertindak seperti pembuli besar untuk membuat keputusan secara sepihak selepas gagal meyakinkan kerajaan negeri mengenai Jajaran Utara,” katanya pada catatan Facebook. – myMetro Online