KUALA LUMPUR – Seramai 474,213 individu sudah melengkapkan dua dos suntikan vaksin, dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, setakat semalam.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata bagi tempoh sama, 757,547 individu menerima dos pertama, menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua vaksin COVID-19 kini berjumlah 1,231,760 dos.
Menerusi infografik yang dikongsikan di laman Twitter hari ini, Dr Adham berkata, lima negeri menerima suntikan dos pertama vaksin tertinggi ialah Selangor dengan 102,801 individu, diikuti Kuala Lumpur (84,502), Johor (71,344), Sarawak (70,919) dan Sabah (63,001).
Lima negeri yang melengkapkan kedua-dua dos suntikan vaksin COVID-19 tertinggi setakat ini pula ialah Selangor dengan 67,278, diikuti Perak (48,970), Sabah (44,191), Kuala Lumpur (43,776) dan Sarawak (42,326).
Mengenai jumlah individu yang mendaftar untuk program imunisasi itu, Dr Adham berkata, setakat semalam, seramai 9,148,332 atau 37.70 peratus daripada yang disasarkan mendaftar, dengan Selangor kekal mencatatkan angka tertinggi sebanyak 2,392,758 pendaftaran.
Mengikut perancangan program imunisasi berkenaan, tempoh pelaksanaan fasa pertama pemberian vaksin yang bermula Februari hingga bulan ini, membabitkan 500,000 anggota barisan hadapan, termasuk petugas kesihatan.
Fasa kedua yang bermula April hingga Ogos tahun ini pula membabitkan 9.4 juta warga emas, kumpulan rentan dan orang kurang upaya, manakala fasa ketiga dijadual bermula Mei hingga Februari 2022 membabitkan individu 18 tahun dan ke atas dengan sasaran 13.7 juta orang atau lebih. – BERNAMA