BANGKOK – Disebabkan terlalu letih, seorang perompak lelaki terlena di bilik tidur pemilik rumah yang dicerobohnya di wilayah Phetcabun, Thailand.
Akibatnya, suspek dikenali Athit Kin Khunthud itu bukan hanya gagal untuk melarikan barang, malah ditahan dengan mudah oleh pihak polis.
India Times melaporkan insiden itu berlaku pada 22 Mac lalu ketika Athit memecah masuk rumah seorang individu dengan niat untuk mencuri barangan berharga.
Namun, Athit tertidur kerana kepenatan hingga tidak sedar apa yang berlaku selepas itu.
Menyedari perompak di dalam bilik tidur, pemilik rumah berkenaan terus menghubungi pihak polis untuk membuat tangkapan.
Sementara menunggu polis tiba, pemilik berkenaan terus membiarkan Athit tidur di biliknya.
Tidak lama selepas itu, pegawai polis, Jiam Wichian tiba dan terus menjerit nama Athit dengan kuat bagi mengejutkannya daripada tidur.
Jeritan itu membuatkan Athit tersedar dan terjaga dalam keadaan terpinga-pinga.
Lebih melucukan apabila Athit sendiri seakan bingung sebab dirinya ditahan oleh pihak polis.
Difahamkan, sebelum kejadian, Athit berlegar-legar di sekitar kawasan perumahan berkenaan sebelum memecah masuk rumah terbabit. – Agensi