KUALA LUMPUR – Kerajaan memperhalusi dan memperkemaskan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan perayaan Aidilfitri seperti solat Aidilfitri, ziarah kubur dan takbir raya rumah ke rumah.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mesyuarat jawatankuasa teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini sudah mendengar pembentangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berhubung perkara itu.
Beliau berkata, pembentangan SOP itu masih diperhalusi lagi berikutan terdapat beberapa teguran berkaitan cadangan Jakim.
“Kita sedang memperhalusi kerana terdapat beberapa teguran cadangan oleh Jakim.
“SOP yang diperhalusi dan diperkemaskan ini akan diumumkan pada minggu hadapan,” katanya dalam sidang media mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), di sini, hari ini.
Sementara itu, beliau berkata, Bazar Aidilfitri di seluruh negara dibenarkan beroperasi hingga 2 pagi berbanding 12 tengah malam sebelum ini, berkuat kuasa esok.
Katanya, lanjutan tempoh operasi itu dibenarkan selepas mendengar rayuan daripada penjaja bazar.
“Kita dimaklumkan pengunjung mula keluar (ke bazar) selepas solat Isyak dan tarawih. Apabila kita benarkan mereka (peniaga) beroperasi setakat 12 tengah malam, jadi waktu berniaga terlalu pendek,” katanya.
Sementara itu, katanya, beliau meminta pihak sekolah atau negeri membuat perbincangan terlebih dahulu dengan KKM sebelum membuat keputusan menutup atau membuka sebahagian operasi sekolah. – myMetro Online