JABATAN Pertahanan Amerika Syarikat, Pentagon sedang melakukan pemantauan secara rapat terhadap sebuah roket China yang dijangka akan masuk kembali ke atmosfera bumi dan terhempas tanpa kawalan pada 8 Mei ini.
Setakat ini, belum ada lokasi khusus dan waktu tepat roket berkenaan memasuki kembali atmosfera bumi.
Jurucakap Pentagon, Mike Howard berkata, kawasan kemasukkan secara tepat hanya boleh diketahui beberapa jam sebelum ia terjadi dan bukan sekarang.
Roket negara China itu digunakan untuk membawa bahagian-bahagian yang diperlukan bagi membuka stesen angkasa baru milik negara komunis itu.
Ia bergerak pada kelajuan 18,000 batu sejam dan dijangka mengelilingi bumi sebanyak 30 kali antara 8 dan 10 Mei ini.
Walaupun sebahagian besar roket itu dijangka akan musnah terbakar sebaik memasuki atmosfera bumi, namun ada bahagian dijangka terhempas ke lokasi yang tidak dapat ditentukan.
Ini kerana berat roket itu sebanyak 22 tan dijangka tidak akan terbakar sepenuhnya dan berpotensi mencetuskan kemalangan serta kemusnahan jika terhempas di lokasi yang ada penduduk.
Howard bagaimanapun memberitahu, kemungkinan ia mengenai manusia atau bangunan adalah rendah.
“Jangan sampai tidak boleh tidur malam,” katanya. – Mynewshub.TV