MANUSIA ke-4 terkaya di dunia dengan nilai dianggarkan lebih RM520 bilion, Bill Gates mengumumkan akan bercerai dengan isterinya, Melinda.
Bill membuat pengumuman itu beberapa jam lalu melalui akaun Twitter peribadinya lantas menjadi perhatian media-media utama di Amerika Syarikat (AS) dan serata dunia.
“Kami tidak lagi percaya kami mampu berkembang bersama sebagai pasangan,” tulis Bill dan Melinda Gates di Twitter.
Pasangan berkenaan yang berkahwin di sebuah resort golf di Hawaii, AS dikurniakan tiga cahaya mata yakni Jennifer, Rory dan Phoebe.
Bill Gates menjadi bilionaire termuda ketika berusia 31 tahun pada 1987. Beliau kemudian dinobatkan orang terkaya di dunia pada tahun 1995.
Bill dan Melinda dikenali kerana secara bersama menguruskan sebuah yayasan yang bertanggungjawab membantu jutaan manusia berdepan dengan masalah kemiskinan yang melampau di serata dunia.
Yayasan Bill And Melinda Gates dianggarkan memiliki aset bernilai lebih RM200 bilion. – Mynewshub.TV