KUALA LUMPUR – Individu yang menempah janji temu vaksin AstraZeneca secara sukarela, mula mendapat tarikh sejak malam tadi.
Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) memaklumkan, pemberian tarikh itu akan dibuat secara berperingkat-peringkat.
Katanya, mereka yang belum mendapat tarikh suntikan vaksin, akan menerimanya dalam tempoh terdekat.
“Janji temu bagi tempahan AstraZeneca pusingan kedua mula diberikan sejak malam tadi.
“Bagi mereka yang berjaya membuat tempahan tetapi masih belum menerima janji temu, jangan bimbang. Janji temu anda akan dapat dilihat dalam masa terdekat,” katanya menerusi Twitter, hari ini.
Sebanyak 956,609 tempahan tawaran penerimaan vaksin AstraZeneca secara sukarela pusingan kedua dibuka semalam, khusus bagi individu berusia 18 tahun ke atas di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Johor dan Sarawak.
Tawaran itu mendapat sambutan hangat apabila semua tempahan habis hanya dalam tempoh kira-kira sejam selepas dibuka pada jam 12.15 tengah hari.
Bagaimanapun, terdapat gangguan teknikal pada laman sesawang pendaftaran tempahan itu, menyebabkan orang ramai meluahkan kekecewaan dan mengadu gagal membuat tempahan kerana tidak dapat memilih lokasi negeri untuk menerima vaksin.
Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) memohon maaf dan memandang serius masalah yang timbul serta akan mengambil tindakan dan menyiasat isu berkenaan.
Pengguna media sosial berkongsi kisah mereka yang gagal mendaftar semalam, menerima makluman di aplikasi MySejahtera memaklumkan tarikh dan lokasi untuk mendapatkan vaksin AstraZeneca.
Ramai pengguna memuat naik tangkap layar MySejahtera menunjukkan mereka memperoleh janji temu vaksin AstraZeneca, walaupun proses pendaftaran semalam tidak berjaya.
“Periksa MySejahtera masing-masing, sebab saya tak berjaya (mendaftar) tengah hari (semalam) tapi tiba-tiba dapat notifikasi,” kata @aaradhia.
“Sama juga. Alhamdulillah setelah bertungkus-lumus (mendaftar) walaupun tak dapat tekan butang negeri,” kata @H4rryzzz1.
“Jam 4.35 pagi, tiba-tiba dapat notifikasi. Alhamdulillah,” kata @amanmhamn yang berkongsi tangkap layar menunjukkan tarikh dan waktu penerimaan vaksin AstraZeneca di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. – BH Online