GAZA – Mereka terlalu kecil untuk memahami perjuangan menuntut kebebasan, namun desakan semasa menyebabkan kanak-kanak di bumi Palestin dewasa sebelum usia, tidak gentar bahkan lebih berani.
Malangnya, golongan itu seolah-olah ancaman kepada tentera Zionis Israel yang melakukan pengeboman bertubi-tubi ke atas Semenanjung Gaza sejak lapan hari lalu, dengan dunia menggambarkannya sebagai serangan terburuk dalam tempoh berdekad konflik.
Kelmarin, pengeboman paling besar disasar ke kota Gaza dengan 55 serangan udara dan beberapa tembakan yang mengorbankan 42 penduduk Palestin serta puluhan lagi cedera, selain memusnahkan tiga bangunan termasuk kediaman bertingkat.
Keseluruhannya, hampir 200 penduduk Palestin menjadi korban, termasuk 58 kanak-kanak dan 34 wanita.
Pengarah Pertubuhan Save the Children bagi Palestin, Jason Lee berkata, secara purata tiga kanak-kanak Palestin cedera bagi setiap jam, sejak serangan tentera Israel terhadap Gaza, seminggu lalu.
“Kanak-kanak ini terpaksa menanggung ‘parut’ yang ditinggalkan, bukan hanya kecacatan kekal, bahkan kesihatan mental yang terjejas sepanjang hayat mereka,” katanya kepada Al Jazeera.
Dengan 58 kanak-kanak menjadi korban serangan udara rejim Zionis, Lee menyifatkan keadaan itu ‘benar-benar menakutkan.’
Dalam pada itu, wartawan Safwat al Kahlout menggambarkan serangan pada Ahad sebagai paling buruk setakat ini.
“Keadaan aman untuk sejam sahaja. Dron Israel berterbangan dan mengawal ruang udara,” katanya.
Penduduk di Tebing Barat, Mad Abed Rabbo, 39, pula meluahkan kebimbangan terhadap jumlah serangan rejim.
“Tidak pernah berlaku serangan sebesar ini,” katanya.
Israel menerusi kenyataan dikeluarkan pada Ahad memaklumkan jet pejuangnya dikerah “menyasar pengganas di Semenanjung Gaza.”
Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dilapor berkata, permusuhan itu tidak akan berhenti dan beliau mempertahankan tindakan tenteranya menyerang menara yang menempatkan pejabat media antarabangsa, The Associated Press dan Al Jazeera.
Dakwanya, pejabat risikan pejuang Palestin juga berada di dalam bangunan itu yang bertanggungjawab merancang dan melakukan serangan ke atas Israel.
“Jadi, ia menjadikannya sasaran yang sah. Untuk makluman, kami mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan tiada kecederaan awam atau sebenarnya, tiada kematian,” kata Netanyahu kepada CBS News yang dipetik Al Jazeera. – Agensi