KUALA LUMPUR – Had kemasukan ke satu-satu pusat beli belah dan pasar raya besar akan dihadkan mengikut kapasiti dan keluasan premis bagi mengelakkan berlaku kesesakan yang boleh menyebabkan risiko jangkitan COVID-19.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kemasukan ke pusat beli belah bukan hanya perlu mengimbas MySejahtera tetapi pengawal keselamatan perlu memeriksa maklumat supaya mereka yang berisiko tinggi tidak dibenarkan masuk.
Katanya, hanya mereka yang berisiko rendah seperti tertera dalam maklumat MySejahtera saja dibenarkan masuk ke premis perniagaan dan pusat beli belah.
“Kita mahu perkenalkan SOP yang ketat sebagaimana yang berjaya dilaksanakan pada Perintah Kawalan Pergerakan 1.0 (PKP 1.0) dulu untuk kemasukan ke pusat beli belah dan premis perniagaan.
“Sebagai contoh mungkin hanya 50 pelanggan pertama dibenarkan masuk dalam satu-satu masa dan selebihnya tunggu giliran. Kita cuba tambah baik dari segi jumlah datang dan mengawal pergerakan mereka keluar dan masuk, hanya yang tidak bergejala dan berisiko rendah dibenarkan masuk supaya tidak sesak,” katanya dalam sidang media pertama bersama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di Putrajaya, hari ini. – BH Online