PUTRAJAYA – Kematian ulama dianggap satu musibah terutama apabila berturut-turut seperti mana yang dapat disaksikan mutakhir ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, ada kalanya, dalam tahun yang sama beberapa tokoh ulama meninggal dunia hampir serentak dan seolah-olah rantaian biji tasbih yang jatuh dan terungkai sekali gus.
Beliau berkata, hakikat bahawa manusia berakhir dengan kematian sebagai ujian Allah di muka bumi ini.
Katanya, ketabahan dan kesabaran serta reda dengan kehendak Allah adalah pakaian yang terbaik dan cara umat Islam beriman dengan qadha’ dan qadar.
“Sesungguhnya berita pemergian Tan Sri Dr Harussani Zakaria amat menyedihkan kita semua kerana mengenangkan jasanya yang begitu banyak ketika menjawat jawatan sebagai mufti lebih tiga dekad menunjukkan thiqah dan kepercayaan kerajaan kepadanya yang terkenal dengan sifat-sifat ulama rabbani.
“Orang sepertinya termasuk dalam sabda Rasulullah SAW: ‘Ilmu ini akan dibawa oleh ulama yang adil dari tiap-tiap generasi’.
“Mereka akan menafikan segala penyimpangan yang dilakukan oleh orang-orang yang melampau, menolak kebohongan pelaku kebatilan dan takwilan orang jahil.
“Sebenarnya ulama yang hebat ialah ulama rabbani yang kukuh ilmu mereka, indah akhlak keperibadian dan teguh hubungan dengan Allah serta manusia,” katanya dalam hantaran melalui Facebook, hari ini.
Zulkifli berkata, Harussani tergolong dalam ulama yang berilmu, beramal dengan ilmu dan ikhlas dalam mengamalkannya.
Katanya, beliau thabat atas kebenaran dan istiqamah dengannya dan atas kebenaran hidup sanggup mati.
Zulkifli berkata, kewujudan ulama adalah sebagai rahmat, berkat dan nikmat kepada ummah.
Katanya, kematian mereka tanpa ragu lagi adalah musibah dan kehilangan mereka dari pentas dakwah adalah satu yang malang kepada ummah.
Menurutnya, lebih merisaukan lagi ketika menangisi pemergian ulama dan kekalnya golongan jahil yang segolongannya mengambil tempat ulama, memakai pakaian-pakaian ulama dan menggunakan gelaran ulama.
Katanya, sedangkan mereka tidak bersandarkan kepada ilmu, petunjuk dan kitab yang bercahaya.
Beliau berkata, apabila mereka berfatwa tanpa disandarkan ilmu dan apabila melakukan penghakiman juga melakukan cara yang sama.
Pada masa sama, Zulkifli berkata, beliau mengenali Allahyarham Harussani lebih 20 tahun dan menjadi lebih akrab ketika menjawat jawatan sebagai Mufti Wilayah Persekutuan.
“Saya kerap menziarahi beliau dan bertemu dalam Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia atau beberapa acara rasmi negara.
“Sempat juga saya bersembang dan mendengar buah fikirannya yang tuntas dan bernas dan setiap kali ke Perak bagi urusan rasmi, saya pasti mengambil kesempatan menziarahi beliau meminta nasihat dan doa daripada orang lama yang penuh dengan barakah.
“Selayaknya beliau menjawat jawatan Mufti dan diberi beberapa anugerah kerana sifat-sifat unggul yang terwujud padanya.
“Dalam tegas ada damainya dalam senyum terzahir prinsipnya dan boleh berbincang serta bertukar pandangan.
“Saya mendoakan semoga Allah kurniakan kepada Almarhum bersama dengan para Nabi, Rasul, siddiqin, syuhada’ dan orang-orang soleh di syurga,” katanya.
Zulkifli juga mengajak umat Islam untuk bersama-sama melakukan solat jenazah ghaib untuk Allahyarham Harussani tanda kasih kepada ulama.
Jabatan Mufti Negeri Perak (JMNPk) dalam satu kiriman di Facebook hari ini memaklumkan Harussani, 82, meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, Perak.
Allahyarham sebelum ini dilaporkan menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) selepas disahkan positif Covid-19. – myMetro Online