KOTA KINABALU – Seorang anggota polis sempat menyambut hari lahir anaknya yang berusia tiga tahun malam tadi dan bersahur dengan keluarga sebelum ditemui mati tergantung di rumahnya di Taman Pertama, Sandakan, pagi tadi.
Kejadian disedari isteri mangsa yang menemui suaminya tergantung di ruang tamu rumah mereka, jam 7.30 pagi.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, mangsa berpangkat Lans Koperal berusia 28 tahun dan bertugas dengan Pasukan Polis Marin (PPM) di Sandakan.
Katanya, siasatan awal mendapati anggota terbabit mempunyai rekod kerja yang baik dan tiada masalah dengan rakan sekerja, termasuk pegawai atasan.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kes berkenaan. Difahamkan, anggota terbabit menyambut hari lahir anaknya yang berusia tiga tahun malam tadi,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Hazani berkata, mangsa turut sempat bersahur bersama keluarganya pagi tadi sebelum ditemui tergantung beberapa jam selepas itu.
Katanya, jenazah sudah dihantar ke Hospital Duchess Of Kent untuk proses bedah siasat dan kes setakat ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR). – BH Online