KUALA LUMPUR – Polis menahan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, berkata siasatan kes itu diserahkan kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman untuk tindakan lanjut.
“Saya sahkan Lokman ditangkap semalam dan masih berada dalam tahanan polis.
“Maklumat lain perlu dirujuk kepada USJT Bukit Aman,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.
Semalam, Lokman menerusi Facebooknya mendakwa ditangkap mengikut Seksyen 4(1) Ordinan Darurat serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
Baru-baru ini, bekas Ahli MKT UMNO itu antara lain mendakwa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama, kedua dan ketiga gagal, selain mencadangkan Perdana Menteri ditukar bagi menangani isu penularan COVID-19.
Bulan lalu, Lokman ditahan berhubung kenyataan mengenai kematian pegawai polis, Asisten Komisioner Shariman Saidin yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, pada 3 April lalu.
Shariman, 56, disahkan meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Pahang, akibat sakit jantung, namun tular di media sosial kononnya kematian allahyarham kerana pengambilan vaksin COVID-19.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, turut dilaporkan menafikan dakwaan itu. – BH Online