KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia gagal dalam permohonannya di Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis untuk melucut hak wang yang didakwa milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan UMNO yang disita di premis milik Obyu Holdings Sdn Bhd sebanyak RM114,164,393.44.
Ia selepas Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menolak permohonan pendakwaan selaku pemohon terhadap pihak terbabit.
Bagaimanapun, mahkamah tidak membuat sebarang perintah sama ada wang itu perlu dikembalikan kepada pemiliknya atau disimpan oleh kerajaan.
Ketika membaca penghakimannya, Muhammad Jamil berkata, pemohon gagal membuktikan wang yang disita adalah hasil daripada kesalahan aktiviti wang haram atau dana yang diperoleh dari kesalahan pecah amanah (CBT).
Pada prosiding itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi manakala Najib dan UMNO diwakili masing-masing oleh Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah serta Tania Scivetti.
Pada 2019, pendakwaan memfailkan permohonan pelucuthakan terhadap Obyu Holdings untuk melucut hak barangan merangkumi 11,991 unit barang kemas, 401 utas jam tangan dan 16 aksesori jam tangan, 234 pasang cermin mata serta 306 beg tangan dan wang tunai berjumlah RM114,164,393.44.
UMNO dan Najib merupakan pihak ketiga dalam permohonan itu.
Mana-mana pihak ketiga yang mendakwa mempunyai kepentingan ke atas barangan yang dirampas boleh hadir di mahkamah untuk mengemukakan alasan mengapa barangan itu tidak boleh dilucut hak kepada kerajaan. – Sinar Harian