CYBERJAYA – Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), agensi utama yang diberi mandat untuk transformasi ekonomi digital negara telah bekerjasama dengan Kumpulan Pendidikan Sunway (SEG) untuk mengumumkan kohort pertama pelajar untuk kampus 42KL, iaitu sekolah pengekodan pertama di Malaysia yang menawarkan pengajian tanpa yuran, tanpa guru dan tanpa kelas pembelajaran secara tradisional.
Dalam usaha berterusan untuk melahirkan tenaga kerja teknologi berkualiti yang diperlukan dalam memacu perkembangan pesat ekonomi digital, MDEC mengiktiraf kepentingan kerjasama di antara sektor awam dan swasta serta peranan yang dimainkan oleh 42KL dalam mencapai objektif tersebut.
“Forum Ekonomi Dunia (WEF) menerusi laporan ‘The Future of Jobs Report 2020‘ menyatakan lapan daripada sepuluh pekerjaan utama di dunia memerlukan kemahiran teknologi digital. Manakala LinkedIndalam laporannya, ‘Emerging Jobs Report Malaysia 2020’ melaporkan enam daripada sepuluh pekerjaan pada masa hadapan adalah berkaitan digital. Semua ini menerangkan mengenai pekerjaan berasaskan digital akan mendapat permintaan tinggi. Oleh itu, MDEC akan memastikan bekalan tenaga kerja berteknologi akan terpelihara dan berterusan demi memenuhi objektif yang dinyatakan dalam Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL),” kata Surina Shukri, Ketua Pegawai Eksekutif, MDEC.
Kampus 42 yang pertama ditubuhkan di Paris, Perancis pada 2013 dan kampus kedua di Lembah Silikon, Amerika Syarikat pada 2016. Kampus 42 Bandar Sunway Kuala Lumpur menawarkan peluang pendidikan unik kepada rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang sosio ekonomi dan pendidikan.
42 menggunapakai model pembelajaran rakan bersama rakan, iaitu tiada sebarang kelas atau guru sebaliknya hanya para pelajar yang akan menentukan kejayaan mereka berdasarkan 100 peratus suasana projek secara pengalaman langsung. Untuk mara dalam pembelajaran, mereka harus mengambilkira keupayaan kumpulan, perkongsian maklumat, memainkan peranan dengan membantu dan menerima bantuan daripada rakan-rakan sekumpulan. Model pembelajaran ini adalah tertakluk kepada kepintaran secara kolektif seperti dalam dunia kerjaya profesional sebenar dan membantu melahirkan tenaga kerja berkualiti bukan secara pembelajaran konvensional tetapi menerusi pencarian, eksperimentasi dan sesi mempertahankan idea mereka.
“Kami di Sunway akan terus berusaha memberikan pengalaman pembelajaran berkualiti menerusi penggunaan teknologi dan cara baharu dalam pendidikan dan pembelajaran. Melalui kerjasama dengan industri, ia sesuatu yang menarik dengan kaedah 42KL berdasarkan sesebuah projek dan pembelajaran rakan-bersama-rakan yang tiada yuran pengajian dan terbuka untuk semua. Saya percaya, menerusi laluan pendidikan alternatif dan inovatif ini, kami mampu untuk menjangkau lebih ramai pelajar di seluruh negara dengan pelbagai latar belakang yang luas.
“Visi dan status 42KL yang bukan berasaskan keuntungan adalah sejajar dengan objektif Yayasan Jeffrey Cheah yang ingin memberi peluang sama rata kepada para pelajar. Menerusi kaedah pembelajaran alternatif ini, kami telah menjalankan tanggungjawab dalam memastikan tiada pelajar yang akan tercicir. Kami di Sunway juga percaya masa hadapan pendidikan adalah bersifat pelbagai dimensi, terutamanya yang menggunapakai sumber dan teknologi pada era Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0). Menerusi 42KL, kami dapat mempersiapkan generasi sekarang dengan mengatasi jurang tenaga kerja untuk pembangunan teknologi di Malaysia,” kata Profesor Elizabeth Lee, Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Pendidikan Sunway.
42KL disokong oleh rakan-rakan utama berikut seperti Kumpulan Sunway, CIMB Bank, DHL, Roland Berger, Carsome, Huawei, Standard Chartered, SIDEC, HSBC, Tenaga Nasional, FWD Insurance dan Celcom.
Sejak laman web 42KL dilancarkan pada Julai 2020, sebanyak 3,600 pendaftaran telah dicatatkan sehingga 1 Januari 2021. Daripada keseluruhan permohonan tersebut, 1,600 sedang menjalani Ujian Logik & Aptitud dalam Talian, dengan lebih 600 telah berjaya melepasi ujian tersebut dan 225 telah mengikuti sesi kem intensif Piscine. 75 pemohon telah berjaya menjadi pelajar dalam program utama selama 12 bulan.
Para pelajar 42KL terdiri daripada pelbagai latar belakang dengan 50 peratus daripadanya keluarga B40, berusia di antara 18 dan 49 tahun, dan 70 peratus daripadanya adalah golongan wanita.
“Saya mengetahui mengenai 42KL menerusi laman LinkedIn MDEC sewaktu saya mencari peluang pekerjaan ‘freelance‘. Saya berminat kerana ia menawarkan pembelajaran tanpa yuran pengajian dan tanpa kelas. Jika saya berjaya dalam kursus ini, saya ingin meneruskan membina projek saya dan akan mencari syarikat yang ingin melabur,” kata Nabil Anwar, 21 tahun, salah seorang kadet 42KL.
“Saya adalah salah seorang daripada peserta Piscine, di mana saya perlu melepasinya terlebih dahulu jika saya ingin mara ke dalam program utama. Saya teruja untuk menyertai program utama kerana ia dapat memastikan saya dapat menguasai sesuatu kemahiran. Lagipun, dengan suasana pembelajaran bersama rakan-rakan, bantuan amat diperlukan dalam sesuatu subjek seperti bagaimana ingin menyelesaikan pengekodan — menerusi bantuan rakan-rakan di peringkat lain, ia sangat membantu! Kaedah ini sangat sesuai untuk saya,” kata Nabihah Md Zaid, 29 tahun, yang sedang menjalani peringkat Piscine.
Piscine adalah sebuah kem intensif di mana para peserta akan diuji mengenai keazaman dan kesungguhan mereka dalam menyelesaikan masalah yang rumit bersama rakan-rakan. Pendaftaran bagi kem intensif Piscine kini dibuka sehingga Julai 2021. Untuk maklumat lanjut mengenai 42KL, sila layari: https://42kl.edu.my/. – Mynewshub.TV