SHAH ALAM – Majlis Keselamatan Negara (MKN) menyenaraikan aktiviti dilarang sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), termasuk di enam daerah di Selangor yang bermula hari ini hingga 17 Mei depan.
Berdasarkan maklumat dalam Twitter MKN, aktiviti hiburan membabitkan kelab malam (pub), taman tema, taman permainan dalaman, karaoke keluarga dan panggung wayang adalah tidak dibenarkan, manakala aktiviti ekonomi meliputi spa serta refleksologi turut dilarang.
Bagi sukan dan rekreasi pula, aktiviti membabitkan sentuhan fizikal kecuali MFL, MHL serta STL, dan pengoperasian fasiliti sukan rekreasi tertutup atau separa tertutup tanpa kawalan penyeliaan, adalah dilarang.
Larangan lain termasuk kehadiran penonton dan penyokong ke pusat sukan atau stadium; aktiviti di luar kawasan arahan pergerakan yang sedang berkuat kuasa kecuali mendapat kebenaran; dan aktiviti massa yang menyukarkan penjarakan fizikal seperti pendakian, fun run serta maraton.
Untuk pelancongan, MKN tidak membenarkan keluar masuk kawasan PKP dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD); keluar negeri oleh warganegara; dan aktiviti pelancongan dalam negeri yang membabitkan pelancong asing kecuali dari negara sebagaimana dinyatakan oleh Menteri berkaitan.
Selain itu, sebarang aktiviti yang boleh menyebabkan ramai orang hadir di suatu tempat sehingga menyukarkan penjarakan fizikal dan pematuhan kepada arahan Ketua Pengarah Kesihatan, juga tidak dibenarkan. – BH Online