SEREMBAN – Selebriti, Neelofa dan suami, Muhammad Haris Mohd Ismail (PU Riz) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Neelofa atau Noor Neelofa Mohd Noor, 32, dan Muhammad Haris, 26, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melanggar SOP selepas pertuduhan dibacakan hadapan Majistret Mahyun Yusoff.
Pasangan itu didakwa atas pertuduhan tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera atau menulis secara manual nama dan nombor telefon sebelum memasuki premis kedai Naeem Carpet Sdn Bhd.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu kedai Naeem Carpet di No 219, Jalan 3/6, Kawasan Perindustrian Nilai 3, di sini, pada jam 4 petang, 2 Mei lalu.
Sementara itu, Muhammad Haris juga didakwa tidak memakai pelitup muka di tempat awam iaitu di premis kedai sama dan pada tarikh serta waktu yang sama.
Bagi semua perbuatan itu mereka didakwa mengikut Peraturan 19, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No. 4) 2021 [P.U. (A) 97/2021] yang dilanjutkan tempoh pelaksanaannya melalui pewartaan Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No. 4) (Pindaan) (No. 12) 2021 [P.U. (A) 199/2021] dan boleh dihukum di bawah Peraturan yang sama.
Mahkamah membenarkan Muhammad Haris diikat jamin RM10,000 untuk kedua-dua kesalahan manakala Neelofa diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah juga menetapkan 4 Jun untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Aling manakala pasangan itu diwakili peguam Haresh Mahadevan.
Pasangan itu membayar wang jaminan sebelum meninggalkan mahkamah. – myMetro Online