PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) di 22 hospital COVID-19 di negara ini sudah melebihi 70 peratus termasuk ada yang mencecah lebih 90 peratus.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kesesakan di ICU hospital COVID-19 juga menyebabkan beberapa hospital bukan COVID-19 juga terpaksa merawat pesakit COVID-19 yang memerlukan bantuan alat pernafasan.
“Ada juga pesakit yang terpaksa diberi bantuan alat pernafasan di wad biasa kerana mereka tidak dapat dipindahkan ke hospital COVID-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, negara merekodkan kemasukan 500 kes ke ICU setakat hari ini, jumlah tertinggi sejak pandemik COVID-19 bermula.
Beliau berkata, kemasukan kes kritikal ke ICU meningkat 44 peratus berbanding tempoh dua minggu lalu di seluruh negara dengan beberapa negeri seperti Selangor, Kuala Lumpur, Kelantan dan Sarawak menunjukkan kadar peningkatan lebih tinggi.
Katanya, musim perayaan, liputan vaksinasi yang belum lagi meluas dan kepadatan penduduk di sesetengah kawasan akan meningkatkan lagi kemungkinan hospital terus berdepan peningkatan kes khususnya kes dengan gejala serius iaitu kategori tiga hingga lima, membabitkan golongan rentan seperti warga emas dan mereka yang mempunyai lain-lain penyakit (komorbiditi).
“Selain itu, bilangan kes harian juga masih tinggi dan belum menunjukkan sebarang penurunan dalam jangka masa terdekat.
“Pada hari ini saja, negara mencatat 4,498 kes baharu. Saya menyeru orang ramai terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan daftar segera sebagai penerima vaksin,” katanya. – BH Online