Friday, October 25, 2024

Creating liberating content

Hanya 4 Daripada 47...

KUALA LUMPUR - Pengauditan oleh Jabatan Audit Negara terhadap 47 syarikat Menteri Kewangan...

VIDEO: Kurang 16 Saat,...

SEORANG gadis nyaris maut apabila kederaan pelbagai guna SUV, Lexus GX460 yang dipandunya...

Bas Ekspres Terbalik, Semua...

KUANTAN - Seramai 14 penumpang bas ekspres berhadapan saat-saat cemas apabila bas yang...

Bomba Uzur Di Sabah...

TAWAU - Dua balai bomba di pantai timur Sabah yang uzur iaitu di...

PKPD Simpang Renggam: Tragedi COVID-19 Satukan Penduduk

KLUANG – Meskipun setahun telah berlalu, rata-rata penduduk di Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baru Ibrahim Majid (BBIM) serta kawasan lain terbabit, tidak dapat melupakan bagaimana kritikalnya keadaan COVID-19 di kawasan mereka sehingga menjadi komuniti pertama ‘terkurung’ dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Ketika itu, petugas barisan hadapan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bertungkus lumus menjalankan pengesanan aktif serta ‘mass sampling’ membabitkan seramai 2,599 penduduk kampung dan kawasan sekitar.

Lebih menyedihkan, pelbagai persepsi negatif dari ‘luar’ yang seolah-olah menyalahkan komuniti berkenaan, turut mencengkam emosi penduduk, apatah lagi terpaksa berdepan ‘musuh’ tidak boleh dilihat dengan mata kasar yang sedang merebak dalam lingkungan mereka sendiri.

Ketika PKPD Simpang Renggam itu, seramai 181 orang disahkan positif dengan empat kematian daripada 2,599 orang dari dua kampung berkenaan dan kawasan sekitar.

Berikut adalah pengalaman getir dikongsikan bekas pesakit COVID-19 terdiri daripada seorang ibu muda dan bayi perempuannya berusia 25 hari, seorang sukarelawan serta seorang bapa yang tabah, yang pasti meruntun hati pembaca.

BAYI 25 HARI JADI PESAKIT TERMUDA DIJANGKITI COVID-19

Bagi Azeila Selamat, menimang cahaya mata sulung adalah saat bahagia yang sangat ditunggu-tunggu, selepas beliau dan suami, Shahizwan Sahlan, menanti selama dua tahun.

Namun, tidak sampai sebulan menikmati kegembiraan itu, pasangan terbabit diuji apabila anak perempuan mereka, Nur Aishah Zahra Shahizwan yang baru berusia 25 hari, disahkan positif COVID-19, sekali gus menjadi pesakit termuda di BBIM.

Mengimbau kenangan itu, Azeila masih ingat bagaimana beliau hanya berkain batik ke Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Dato’ Ibrahim Majid bersama bayi dan suami, kerana masih berpantang, sekali gus menyertai ribuan masyarakat BBIM dan Kampung Dato’ Ibrahim Majid yang turut diminta membuat ujian saringan COVID-19.

“Selalunya keputusan keluar dalam masa 48 jam, jadi apabila sudah lepas tempoh itu, kami ingat sudah tiada apa-apalah. Seminggu selepas membuat ujian itu, kami mendapati ada jiran yang positif. Dia ambil ujian pun saing dengan kami. Masa itu, kami sudah mulai risau.

“Pada waktu solat maghrib (hari sama), selepas saya keluar dari tandas, saya nampak suami tengah tengok anak kami, jadi saya tanya kenapa.

“Dia cakap ada orang telefon nak sahkan alamat. Saya rasa tak sedap hati. Tak lama kemudian, ada panggilan telefon masuk lagi dan beritahu anak saya positif,” kata wanita berusia 27 tahun itu ketika temu bual eksklusif dengan Bernama, baru-baru ini.

Meskipun takut dan sedih dengan berita yang diterimanya, Azeila berasa sedikit lega apabila dibenarkan menjaga Nur Aishah di hospital walaupun dirinya disahkan negatif.

KESEDIHAN IBU TIDAK TERBENDUNG

Sepanjang lapan hari berada di hospital, Azeila mengaku berasa tertekan, apatah lagi masih melalui proses berpantang dan emosinya sering terganggu berikutan sangat sedih sambil menjaga anaknya yang baru lahir tanpa suami di sisi.

“Bermula dari saya dapat tahu anak dijangkiti, emosi saya tidak terbendung dan tidak terkawal. Saya asyik menangis di hospital. Hari-hari hubungi keluarga dan suami menerusi panggilan video.

“Selain itu, saya juga ada seorang kawan yang positif dan tinggal di hospital sama. Hari-hari kami saling berhubung menerusi WhatsApp.

“Dia pun terpaksa tinggalkan anaknya yang berusia tiga bulan dan masih menyusu badan, selain tidak dapat menyimpan susu untuk anaknya serta turut meninggalkan anak berusia tiga tahun. Saya banyak ambil kekuatan daripadanya,” kata Azeila.

Meskipun tidak berpengalaman dalam menjaga anak dengan kurangnya peralatan untuk menjaga bayi di hospital, Azeila tetap tabah dan bersabar bagi memastikan anaknya sembuh semula.

Baginya, peristiwa bersejarah itu akan diceritakan kepada anaknya apabila dia besar nanti mengenai bagaimana detik kelahirannya merupakan satu anugerah berharga tatkala negara dilanda satu ujian yang besar.

“Bila kita dengar COVID-19, semua orang takut. Bila tahu bayi sendiri dijangkiti, dengan umurnya (yang sangat kecil)..bila kena tu rasa macam…bila orang dengar virus tu, orang sudah fikir mati. Jadi memang takut sangat masa itu,” katanya lagi.

DISERANG STROK

Bila pertama kali mendengar ada kluster jemaah tabligh dikaitkan dengan kes COVID-19 ketika itu, Hamdan Saleh, 74, terus teringat pernah duduk di sebelah individu baru pulang dari perhimpunan di Masjid Seri Petaling itu.

Ketika PKPD diisytiharkan beberapa hari kemudian, kesemua lapan ahli keluarganya diminta menjalani ujian saringan COVID-19. Hamdan dan isteri serta anak bongsu lelaki mereka yang berusia 26 tahun disahkan positif. Mereka kemudian dimasukkan ke Hospital Kluang untuk kuarantin.

“Sebelum menjalani ujian saringan itu, isteri saya masa itu batuk-batuk, anak saya pula sudah hilang deria rasa tetapi saya tiada gejala apa-apa.


“Masa itu tak tahu apa-apa, orang kata itu bukan COVID-19. Bila isteri, anak dan saya sudah masuk hospital, mulai risau sebab ada tiga cucu di rumah, kalau terjadi apa-apa dengan anak dan menantu yang lain,” katanya.

Selama sebulan Hamdan terlantar di hospital, doktor mula mengesan beberapa masalah kesihatannya, termasuk buah pinggang mengecut dan darah menjadi pekat.

“Darah pekat inilah yang membuatkan saya (diserang) strok. Dua hari saya terlantar akibat strok. Masa itu tak boleh buat apapun sendiri, lampin pun orang pakaikan, makan pun guna tiub,” katanya.

NAK HIDUP ATAU BERPUASA

Memandangkan ketika itu Ramadan, menurut Hamdan, beliau juga pernah diberi kata dua oleh doktor apabila menyatakan keinginan untuk berpuasa.

“Kalau puasa, tak dapat masuk air tiga liter sehari, jadi pakcik pilihlah mahu hidup atau puasa. Puasa boleh ganti, nyawa tidak boleh ganti,” katanya ketika mengimbas kembali perbualan bersama doktor di hospital. 

Hamdan yang akhirnya dibenarkan pulang dua minggu sebelum Aidilfitri, berasa cukup bersyukur diberi peluang kali kedua dan masih boleh bertemu keluarga meskipun pernah berada di ambang ‘maut’ akibat strok.

Dia yang menghidap penyakit kencing manis, sehingga kini masih menerima rawatan termasuk terpaksa makan pil cair darah. 

“Nasihat saya, bila doktor suruh kuarantin di rumah, jangan buat apa-apa dan duduk di rumah. Kalau kita tak jaga, kita akan membahayakan orang lain, termasuk ahli keluarga kita sendiri,” katanya yang juga seorang pesara.

BANTU EDARKAN BANTUAN, TAK SANGKA JADI PESAKIT

Bagi Mohd Zin Erjam yang merupakan Pengerusi Kejiranan Rukun Tetangga BBIM, rumahnya menjadi pusat agihan bekalan makanan apabila kawasan itu mula diisytiharkan PKPD.

“Walaupun ketika itu, berita mengenai COVID-19 sudah mula tersebar, kita masih tiada rasa apa-apa. Pada 30 Mac 2020, saya lima sekeluarga diminta menjalani ujian saringan COVID-19.

“Ketika tu, keputusan mengambil masa seminggu baru dapat. Jadi kerja rutin mengagihkan bantuan makanan terus berjalan. Semua berkumpul di rumah saya untuk urusan agihan makanan,” katanya.

Seminggu selepas itu, Mohd Zin dan isteri disahkan positif COVID-19 dan mereka dibawa ke Hospital Kluang untuk dikuarantin.

“Yang sedihnya, masa itu sudah tersebar berita kematian akibat COVID-19. Dua orang kenalan saya dan selalu berjumpa di masjid, meninggal dunia kerana COVID-19.

“Itu sebab sedikit sebanyak kami berasa ngeri dan kepergian kami ditangisi anak menantu dan cucu,” kata bekas guru itu.

SEMANGAT KESATUAN ERATKAN MASYARAKAT 

Di sebalik apa yang berlaku, Mohd Zin berkata, beliau berbangga kerana masyarakat di kampungnya itu menunjukkan semangat kesatuan yang luar biasa meskipun turut menerima kritikan serta persepsi negatif masyarakat luar yang tidak jelas dengan situasi PKPD di kawasan berkenaan.

“Dari segi kesatuan, dalam kita menghadapi saat genting itu, memang terbukti. Itu yang jelas. Kita punya kesatuan, kerjasama memang sangat terserlah pada ketika itu,” katanya.

Menurut beliau, meskipun sedar mengenai punca penularan ketika itu, tidak ada siapa yang menuding jari, sebaliknya semua penduduk di situ menganggap ia adalah suratan takdir dan ketentuan Allah SWT.

Bagi mengabadikan kenangan, dia mengambil inisiatif menerbitkan Majalah Khas ‘COVID-19: BBIM Lockdown’, antaranya untuk diedarkan kepada penduduk tempatan.

Ia sebagai usaha bagi merekodkan segala peristiwa ketika PKPD pertama negara itu untuk tatapan generasi masa hadapan. – BERNAMA

Kategori