KUALA LUMPUR – Polis sedang mengesan pemilik akaun Instagram yang memuat naik video yang menunjukkan dia memberi anaknya dipercayai berusia dua tahun menghisap rokok elektronik atau vape sehingga tular.Ā
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, setakat ini pihaknya belum menerima laporan polis daripada mana-mana pihak.
Menurutnya, bagaimanapun polis sedang mengesan pemilik akaun terbabit untuk siasatan lanjut.
“Kita sedang mengesan wanita itu untuk siasatan dan menyelamatkan kanak-kanak terbabit,” katanya kepada Harian Metro.
Terdahulu tular di media sosial video menunjukkan seorang ibu memuat naik video yang menunjukkan dia memberi anaknya dipercayai berusia dua tahun menghisap rokok elektronik atau vape sehingga mengundang kemarahan netizen.
Klip video berdurasi 12 saat itu menunjukkan, mangsa yang sedang menonton video animasi kanak-kanak di telefon bimbit disuap dengan vape sebanyak dua kali.
Malah pada sedutan kali kedua jelas menunjukkan mangsa terasa seperti sukar bernafas.
Pada mulanya, wanita terbabit tetap mempertahankan tindakannya dengan menegaskan bebas memuat naik apa sahaja di laman sosialnya.
Namun selepas dikecam netizen, wanita terbabit meminta orang ramai tidak lagi menyebarkan video itu dan memohon maaf kerana tidak sangka tindakannya memuat naik video itu mengundang persepsi tidak elok selain bimbang kejadian buruk berlaku kepada anaknya. – myMetro Online