KUALA LUMPUR – Polis menjalankan siasatan terhadap Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang didakwa tidak memakai pelitup muka ketika mengadakan sidang media berkaitan kemalangan tren Transit Aliran Ringan (LRT), semalam.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abidin Abdullah, berkata siasatan berhubung pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilakukan Tajuddin sudah dimulakan pada hari sama.
“Siasatan dijalankan ke atas video yang tular di media sosial menunjukkan Tajuddin tidak memakai pelitup muka ketika mengadakan sidang media selepas selesai meninjau lokasi insiden kemalangan membabitkan tren di Stesen LRT Kuala Lumpur.
“Semua mereka yang terbabit dalam kes itu akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk memberi keterangan dalam tempoh terdekat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkutan) 2021.
Semalam, Tajuddin pada sidang media selepas melawat lokasi dua tren LRT bertembung dalam terowong berhampiran KLCC, di sini, dilihat hanya memakai pelindung muka tanpa memakai pelitup muka. – BH Online