SHAH ALAM – Dakwaan berkenaan penduduk di sebuah taman perumahan di Seksyen 23, di sini dijangkiti virus Covid-19 sebanyak 40 peratus yang tular pada Sabtu berkenaan adalah tidak benar.
Persatuan Komuniti Penduduk Seksyen 23 (PKS23) menerusi satu kenyataan memaklumkan pihaknya berbincang dengan pegawai khas dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Shah Alam berkenaan siasatan awal dan tindakan lanjut yang akan diambil.
Menurut kenyataan tersebut, kes jangkitan Covid-19 di kawasan terbabit tidak seperti yang dihebahkan dan ia tidak merebak melalui jemaah surau seperti yang didakwa oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Jumlah peratus rumah di sini yang terkesan dengan Covid-19 adalah sebanyak 7.5 peratus, manakala hanya 2.5 peratus penduduk dijangkiti virus terbabit.
“Berkenaan dakwaan ambulans keluar masuk kawasan di sini pula, ia adalah milik syarikat swasta yang berpengkalan di kawasan ini dan tidak membawa pesakit Covid-19.
“Malah sehingga kini, tiada pemasangan pagar atau pengisytiharan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) oleh pihak berkuasa dilaksanakan di sini,” kata kenyataan tersebut pada Ahad.
Pada Sabtu, satu artikel berkenaan penduduk di sini mendakwa komuniti terbabit dijangkiti Covid-19 sebanyak 40 peratus dengan situasi makin tenat tular melalui aplikasi WhatsApp.
Menurut artikel terbabit, virus tersebut tersebar daripada seorang jemaah terawih yang positif Covid-19 setelah mempunyai kontak rapat dengan pesakit yang dijangkiti virus terbabit.
“Sekarang ini adik beritahu ambulans asyik keluar masuk taman penduduk ke pusat kuarantin.
“Hati-hatilah semua…Jangan sampai jadi macam taman perumahan Seksyen 23, Shah Alam. Polis dah nak kepung pasang dawai kawat dah katanya,” kata artikel tersebut. – Sinar Harian