SHAH ALAM – Berikutan jumlah kes harian baharu Covid-19 semakin meningkat dengan merekodkan 6,075 kes pada Rabu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyarankan orang ramai terus berada di rumah selain patuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Bukan itu sahaja, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah juga menekankan langkah proaktif melakukan sekatan pergerakan kendiri atau ‘self lockdown’ bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.
Menerusi Twitter dan Facebook rasmi KKM, lima tip perlu dilaksanakan oleh orang ramai semasa melakukan sekatan pergerakan kendiri.
“Ke pasar atau grocery untuk beli barang keperluan seminggu sekali. Isi minyak kenderaan tangki penuh.
“Solat berjemaah lima waktu bersama ahli keluarga. Optimakan pembelian secara dalam talian dan zero tetamu,” menurut kenyataan ringkas itu.
Sehingga Khamis, perkongsian di Twitter telah diulang ciapan lebih 7,785 dan lebih 7256 tanda suka manakala di Facebook, lebih 8,800 perkongsian dan 44,000 tanda suka dari warganet.
Pada Rabu, Malaysia merekodkan kes harian tertinggi dengan 6,075 kes baharu positif Covid-19 sekali gus menjadi yang tertinggi sejak pandemik itu berlaku Mac tahun lalu.
Sementara itu jumlah kes aktif di seluruh negara adalah 47,340 dengan 559 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU) manakala 303 pesakit pula memerlukan bantuan mesin pernafasan.
Berdasarkan data yang dikeluarkan KKM, peratusan kes sembuh merudum kepada 89.9 peratus dengan jumlah kes sembuh adalah 3,516 kes menjadikan keseluruhannya adalah 436,116 kes.
Selangor menjadi negeri yang merekodkan kes tertinggi dengan 2,251 kes diikuti Johor (699), Kuala Lumpur (660), Kedah (446), Kelantan (441), Sarawak (323), Perak (220) dan Terengganu (203).
Negeri Sembilan pula melaporkan 189 kes, Pulau Pinang (183), Sabah (160), Pahang (150) dan Melaka manakala Labuan (14), Putrajaya (sembilan) serta Perlis (enam). – Sinar Harian