HEBAT betul Istana Johor. Dengan cuma satu ‘sounding’ Kerajaan Persekutuan terpaksa akur melaksanakan ‘total lockdown’.
Orang kata ini yang dinamakan sebagai aura. Aura Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar.
Sultan Yang Dipertuan bagi negeri dan jajahan takluk Johor Darul Takzim. Maka bukan saja-saja Johor digelar Harimau Selatan.
Ironinya sudah banyak kali desakan demi desakan dibuat rakyat supaya ‘total lockdown’ dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan.
Begitu juga oleh pimpinan politik. Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak paling keterhadapan dalam desakan ini.
Rakyat dan Najib tahu bahawa jika ‘total lockdown’ tidak dilaksanakan segera kadar jangkitan kes akan terus meningkat.
Tetapi entah mengapa begitu lambat untuk Kerajaan Persekutuan melaksanakannya sehingga telah mencecah lebih 8,000 kes sehari.
Rakyat bersyukur Istana Johor memahami keresahan mereka. Mendalami situasi marhain yang tertekan disebabkan penularan wabak.
Seperti titah Sultan Ibrahim, biar kita telan ubat yang pahit sekarang daripada menanggung sakit melarat dan berterusan.
Bagaimanapun sesudah diumum ‘total lockdown’ Kerajaan Persekutuan tidak boleh lepas tangan begitu sahaja.
Tanggungjawab sebagai kerajaan membantu rakyat dalam kesusahan semasa pelaksanaannya jangan buat tidak tahu.
Sultan Johor telah menitahkan supaya bantuan diberi kepada rakyat yang mungkin terjejas disebabkan ‘total lockdown’.
Apapun ‘total lockdown’ akan berlangsung dari 1 sehingga 14 Jun 2021. Pastikan kita menang peperangan menentang Covid-19 ini.
Jangan sia-siakan peranan dan usaha Istana Johor dalam mendesak Kerajaan Persekutuan melaksanakan ‘total lockdown’.
Kita akui pelaksanaan ‘total lockdown’ tidak dapat dielakkan. Hanya dengan cara ini kita mampu menurunkan kadar jangkitan yang seolah-olah tidak lagi terkawal.
Tidak terkawal angkara PKP separuh masak dan Ordinan Darurat yang sehingga hari ini menjadi persoalan bagaimana ia mampu membendung penularan Covid-19. – Mynewshub.TV