PARIT BUNTAR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menegaskan mana-mana individu, termasuk petugas barisan hadapan yang mendapat suntikan vaksin bukanlah jaminan mereka menjadi kebal atau tidak dijangkiti virus COVID-19.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, berkata vaksin bukanlah ubat, sebaliknya ia berperanan menguatkan antibodi atau daya ketahanan tubuh badan untuk melawan penyakit.
Beliau berkata, sekiranya semua pihak beranggapan bahawa pengambilan vaksin itu adalah ubat, perkara itu adalah tidak benar.
“Vaksin bukanlah ‘freedom passport’, sebaliknya bertindak untuk menguatkan tahap antibodi dan daya ketahanan badan manusia.
“Bagi kes membabitkan lebih 1,000 petugas barisan hadapan yang dikatakan dijangkiti virus ini biarpun sudah mendapatkan dua dos suntikan, itu sebenarnya bergantung pada cara penjagaan prosedur operasi standard (SOP) yang mereka amalkan.
“Mungkin mereka menjaga ketat tahap kepatuhan SOP di tempat kerja, tetapi ia berlaku apabila mereka berada di luar atau ketika pulang ke rumah. Justeru kita perlu meningkatkan lagi tahap kepatuhan SOP, termasuk menyahut saranan kerajaan untuk mengamalkan kawalan kendiri (self lockdown),” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan kerja ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Taman Kerian Permai, di sini, hari ini.
Berhubung dakwaan orang ramai mengatakan kononnya vaksin dibekalkan kepada kerajaan mungkin diragui keasliannya dan meminta kerajaan mengkaji semula isi kandungan, Noor Azmi menegaskan dakwaan itu adalah tidak benar.
“Setakat ini tidak timbul isu ada bahan lain yang tidak jitu di dalam vaksin yang dibekalkan kepada negara kita.
“Untuk setiap vaksin COVID-19 yang diperkenalkan, ia akan melalui satu proses yang sangat ketat oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), bahkan ia tidak hanya terhenti di situ, sebaliknya di kaji lagi oleh pakar sebelum mendapat kelulusan untuk digunakan.
“Justeru, kita tidak bercadang untuk mengkaji semula kandungan vaksin yang dibekalkan dan dakwaan pihak yang mengatakan kononnya vaksin ini diisi air paip adalah tidak berasas,” katanya. – BH Online