GENEVA – Varian COVID-19 yang tersebar di India, yang mencetuskan penularan lebih pantas di republik itu diklasifikasikan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai Variant of Concern (VOC).
Agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu menjelaskan varian B.1.617 COVID-19 yang pertama kali dikesan di India pada Oktober tahun lalu lebih mudah menyebar daripada versi virus asal, dan mungkin mempunyai peningkatan daya tahan terhadap perlindungan vaksin.
“Ada beberapa maklumat yang tersedia untuk menunjukkan peningkatan penularan B.1.617,” kata pegawai WHO yang mengetuai isu COVID-19, Maria Van Kerkove kepada media.
“Oleh itu, kami mengklasifikasikan ini sebagai Varian of Concern di peringkat global,” katanya, sambil menambah bahawa lebih banyak butiran akan diberikan dalam kemas kini epidemiologi mingguan WHO, esok.
India, yang terkesan akibat pandemik terburuk di dunia, melaporkan hampir 370,000 jangkitan baharu dan lebih 3,700 kematian semalam.
Gelombang dahsyat melanda sistem penjagaan kesihatan India, dan pakar mengatakan angka rasmi untuk kes dan kematian jauh lebih rendah daripada jumlah sebenarnya.
Penemuan varian B.1.617 menambah senarai tiga varian lain COVID-19 yang pertama kali di kesan di Britain, Brazil dan Afrika Selatan. Ketiga-tiganya diklasifikasi WHO sebagai VOC.
Varian baharu itu dilihat lebih berbahaya daripada versi asal virus dengan lebih mudah disebarkan, mematikan atau mampu menyaingi vaksin.
Mengenai varian B.1.617, Van Kerkove menegaskan bahawa buat masa ini “kami tidak mempunyai apa-apa yang menunjukkan bahawa diagnostik atau terapi dan vaksin kami tidak berfungsi.”
Kenyataan itu dipersetujui Ketua Saintis WHO, Soumya Swaminathan.
“Apa yang kita tahu sekarang adalah vaksin berfungsi, diagnostik berfungsi, rawatan yang sama yang digunakan untuk virus biasa,” katanya pada sidang media.
“Oleh itu, tidak perlu mengubah semua itu, dan sebenarnya … orang ramai perlu terus mendapatkan apa sahaja vaksin yang tersedia untuk mereka yang mereka layak untuk terima,” katanya. – Agensi