PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) Negeri Johor mengecam pihak yang cuba mempersenda dan mempermainkan Institusi beraja di Negara kita. Sikap biadap dan tidak berprinsip ini dilihat sangat bertentangan dengan sifat ketimuran dan adab Melayu. Raja adalah lambang dan tonggak Negara Malaysia malahan Institusi Raja disebut dengan jelas di dalam perlembagaan Negara Malaysia.
Akhir-akhir ini dilihat beberapa individu dari parti dan golongan tertentu telah dengan sengaja mempertikai wibawa Yang Di-Pertuan Agong seorang yang sangat dihormati di negara kita. Malahan, lebih teruk lagi mereka mengheret Sultan ke dalam kancah politik. Di dalam negara kita “Agong dan Raja-raja Melayu berada di atas politik (above politics) di mana tidak wajar ada pihak cuba memperlekehkan badan tersebut,”
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Negeri Johor memandang serius isu ini kerana ianya akan membentuk sekelompok masyarakat yang tidak bertanggungjawab bersifat derhaka dan boleh menjadi punca kepada perbalahan dalam negara. Sikap ini jelas tidak mencerminkan kemelayuan apatah lagi sifat-sifat seorang muslim sejati. Menegur dengan cara mempersenda Institusi Raja yang sangat dihormati adalah satu tindakan kurang ajar yang melampau.
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Negeri Johor meminta pihak berkuasa terutama PDRM supaya bertindak tegas dan sentiasa peka dengan golongan-golongan ini. Mereka sentiasa cuba menjadikan Malaysia yang aman dan sejahtera ini bergolak dan kacau bilau. Jika mereka tidak diambil tindakan sewajarnya dan dijatuhkan hukuman setimpal. Pasti akan lahir manusia yang tidak bersyukur dan bersifar biadap lagi derhaka.
Lebih bahaya lagi apabila ada diantara mereka yang terang-terang ingin menghapuskan sistem Beraja. Mereka beranggapan Sultan atau Raja yang ada hanya menyusahkan rakyat dan negara. Selain itu, mereka juga menghasut rakyat supaya diwujudkan “negara republik” yang menjadikan Malaysia negara tanpa Raja. Jika itu berlaku maka salah satu keistimewaan orang melayu dan Negara Malaysia akan hilang. Perkara seperti ini mesti dipandang serius oleh semua orang tanpa mengira batas agama mahupun bangsa.
Sultan payung negara. Sultan jugalah penyelamat bangsa. Mereka akan menjadi pemangkin dan tulang belakang kepada muafakat rakyat. Tanpa mereka, maka hilanglah seri negara kita. Bersamalah kita mempertahankan Institusi DiRaja Malaysia dari anasir-anasir penderhaka. Jangan beri mereka ruang dan peluang kerana negara kita negara berdaulat.
‘Islam Memperkukuh Perpaduan’
USTAZ ABDULLAH HUSIN
Pesuruhjaya
Badan Perhubungan PAS Negeri Johor (BPPNJ)