KUALA LUMPUR – Isi rumah miskin tegar akan menerima bantuan sebanyak RM500 tiga bulan berturut bermula Ogos ini, dalam pemberian khas Bantuan Khas COVID-19.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata mereka akan menerima bantuan RM500 pada Ogos, RM500 pada November, dan RM300 pada Disember.
“Individu bujang kategori miskin tegar akan menerima bantuan sebanyak RM200 pada Ogos dan RM300 pada November.
“Isi rumah kategori B40 (kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah) pula akan menerima bantuan sebanyak RM500 pada Ogos dan RM300 pada Disember, manakala bujang kategori B40 akan menerima bantuan sebanyak RM200 pada Ogos.
“Isi rumah kategori M40 (kumpulan berpendapatan 40 peratus pertengahan) turut menikmati bantuan sebanyak RM250, manakala bujang kategori M40 akan menerima RM100 pada bulan Ogos nanti,” katanya ketika mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), hari ini.
Muhyiddin berkata, bantuan itu dijangka memanfaatkan lebih 11 juta isi rumah dan individu warga emas serta bujang dengan peruntukan sebanyak 4.6 bilion ringgit. – BH Online